Skip to main content

Dunia

Mohamad Sabu bertemu rakan sejawat di Iran, bincang usaha kukuh kerjasama pertanian

Mohamad Sabu
Mohamad berkata kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang kini berada di peringkat teknikal untuk diperhalusi sebelum dimuktamadkan. - Foto Facebook/Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Iran berminat untuk meningkatkan import beberapa produk Malaysia termasuk buah-buahan tropika, minyak sawit, urea dan pakaian, selain membuka akses pasaran bagi produk daging serta tenusu antara kedua-dua negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan rakan sejawat dari Republik Islam Iran, Gholamreza Nouri Ghezelieh, di negara itu pada Sabtu bagi memperkukuh kerjasama sektor pertanian dan agromakanan.

Menerusi video yang dimuat naik Pasukan Media Kementerian Pertanian Republik Islam Iran dan dikongsikan di laman Facebook beliau, Mohamad berkata kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang kini berada di peringkat teknikal untuk diperhalusi sebelum dimuktamadkan.

“Kami juga berbincang mengenai usaha memperkukuh pemindahan teknologi pertanian bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Komitmen dan kesiapsiagaan mereka dalam sektor agromakanan wajar dijadikan contoh,” katanya.

Mohamad Sabu menyatakan kekaguman beliau terhadap perancangan jangka panjang Iran dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara terus terpelihara walaupun berdepan situasi peperangan. 

Terdahulu, Mohamad Sabu mengetuai delegasi kerajaan Malaysia bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei di Grand Mosalla, Tehran.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata upacara penghormatan kepada Allahyarham berlangsung selama beberapa hari bermula di Tehran sebelum diteruskan ke Qom, Najaf dan Karbala sebelum jenazah dibawa ke Masjid Haram Imam Reza di Mashhad untuk dikebumikan pada 9 Julai.

Majlis penghormatan dan berkabung itu diadakan lebih 100 hari selepas Khamenei terkorban dalam serangan yang melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Feb.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement