Skip to main content

Dunia

Mahkamah Agung AS tolak rayuan terakhir Trump dalam kes E Jean Carroll

FILE PHOTO: Writer E. Jean Carroll leaves the 2nd U.S. Circuit Court of Appeals, where former U.S. President Donald Trump is asking a federal appeals court to overturn a $5 million jury verdict finding him liable for sexually assaulting and defaming her, who accused Trump of raping her nearly three decades ago, in Manhattan, New York, U.S., September 6, 2024. REUTERS/Adam Gray/File Photo
Carroll, yang merupakan bekas kolumnis majalah, memfailkan saman terhadap Trump selepas mendakwa beliau diserang secara seksual di bilik persalinan sebuah gedung beli-belah di Manhattan pada pertengahan 1990-an. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menolak permohonan Presiden Donald Trump untuk menyemak semula keputusan mahkamah yang mendapati beliau bertanggungjawab atas penderaan seksual dan fitnah terhadap penulis E Jean Carroll, sekali gus menamatkan usaha undang-undangnya untuk membatalkan keputusan juri tersebut.

Dalam keputusan ringkas tanpa penjelasan, mahkamah tertinggi AS itu enggan mendengar rayuan Trump berhubung keputusan juri pada 2023 yang mengarahkan beliau membayar AS$5 juta (kira-kira RM20 juta) sebagai ganti rugi kepada Carroll.

Juri di New York sebelum ini mendapati Trump telah melakukan penderaan seksual terhadap Carroll di sebuah gedung beli-belah di Manhattan pada pertengahan 1990-an serta memfitnah beliau selepas menafikan dakwaan itu secara terbuka.

Namun, juri tidak menerima dakwaan bahawa perbuatan tersebut memenuhi takrif undang-undang jenayah New York bagi kes rogol.

Trump secara konsisten menafikan segala tuduhan yang dikemukakan Carroll dan berhujah bahawa hakim perbicaraan telah membenarkan bukti-bukti yang prejudis, termasuk rakaman video “Access Hollywood” pada tahun 2005 serta keterangan daripada dua wanita lain yang turut menuduh beliau melakukan salah laku seksual.

Mahkamah Rayuan Persekutuan sebelum ini mengekalkan keputusan juri berkenaan dan memutuskan bahawa perbicaraan baharu tidak diperlukan.

Susulan itu, Trump membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung sebagai usaha terakhir untuk membatalkan keputusan berkenaan.

Peguam Carroll, Roberta Kaplan, menyifatkan keputusan Mahkamah Agung itu sebagai pengesahan muktamad terhadap keputusan juri.

“Keputusan Mahkamah Agung hari ini mengesahkan sekali dan untuk selama-lamanya keputusan sebulat suara juri bahawa Presiden Donald J. Trump telah melakukan penderaan seksual dan memfitnah E Jean Carroll,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berkata bahawa pelbagai usaha rayuan yang dikemukakan Trump semuanya gagal dan keputusan terkini itu menamatkan percubaan beliau untuk mengelakkan tanggungjawab terhadap tindakannya.

Dalam reaksi menerusi platform Truth Social, Trump mengkritik keputusan tersebut dan berikrar untuk meneruskan perjuangan menentang apa yang disifatkannya sebagai penggunaan sistem perundangan untuk tujuan politik.

Beliau juga menegaskan bahawa kes itu merupakan satu ketidakadilan dan mendakwa undang-undang berkenaan diwujudkan khusus untuk mensasarkan dirinya.

Kes ini berasingan daripada satu lagi kes fitnah yang turut melibatkan Carroll, di mana juri pada 2024 mengarahkan Trump membayar AS$83.3 juta sebagai ganti rugi selepas didapati terus memfitnah penulis itu melalui kenyataan awamnya.

Rayuan Trump terhadap keputusan tersebut masih melalui proses perundangan yang berasingan.

Carroll, 81, yang merupakan bekas kolumnis majalah, memfailkan saman terhadap Trump selepas mendakwa beliau diserang secara seksual di bilik persalinan sebuah gedung beli-belah di Manhattan pada pertengahan 1990-an.

Trump pula berulang kali menafikan dakwaan itu dan mendakwa Carroll mereka cerita tersebut.
 

 

Must Watch Video

Advertisement