Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Delegasi AS, Iran berangkat ke Doha, rundingan damai masih belum pasti

People ride past a banner with a picture of Iran's Supreme Leader, Mojtaba Khamenei, in Tehran, Iran, Jun 28, 2026. (Photo: REUTERS/Majid Asgaripour)
Sepanduk yang memaparkan gambar Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei kelihatan di sebuah jalan utama, di Tehran, Iran. - Gambar Reuters

DUBAI: Pasukan perunding Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka berada di Doha minggu ini, namun, Tehran menegaskan tiada sebarang pertemuan dijadualkan antara kedua-dua pihak.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, tiada rundingan akan diadakan bersama AS dalam masa terdekat.

“Kami tidak akan mengadakan sebarang pertemuan rundingan pada mana-mana peringkat dengan pihak Amerika dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan kembali memuncak susulan serangan peluru berpandu oleh kedua-dua pihak hujung minggu lalu, sekali gus menguji gencatan senjata sementara yang bertujuan menamatkan konflik berlanjutan sejak empat bulan.

Presiden AS, Donald Trump dilaporkan menghantar menantunya, Jared Kushner bersama Utusan Khas Steve Witkoff untuk mengetuai delegasi rundingan ke Doha.

Bagaimanapun, Iran menjelaskan, kehadiran delegasi teknikalnya ke Qatar tidak berkait dengan lawatan wakil AS, sekali gus menafikan sebarang pertemuan antara kedua-dua negara.

Gencatan senjata terus rapuh

Percanggahan kenyataan mengenai potensi pertemuan itu mencerminkan keadaan rapuh perjanjian yang dicapai pada 17 Jun lalu, yang menghentikan sementara konflik serta menjejaskan aliran minyak global melalui Selat Hormuz.

AS dan Iran sebelum ini memperuntukkan sekurang-kurangnya 60 hari untuk melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara, termasuk melanjutkan gencatan senjata, membincangkan program nuklear Iran dan merintis perjanjian damai berkekalan.

Namun, rundingan berjalan perlahan apabila kedua-dua pihak saling menuduh melanggar terma yang dipersetujui.

Konflik mula memuncak selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang menyebabkan laluan maritim di Selat Hormuz - antara laluan terpenting perdagangan minyak dunia hampir terhenti.

Tekanan ekonomi dan geopolitik

Ketegangan antara Washington dan Tehran turut merumitkan usaha menamatkan konflik serantau termasuk di Lubnan.

Penutupan laluan strategik itu sebelum ini melonjakkan harga minyak melebihi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi global dan memberi kesan kepada ekonomi dunia.

Dalam masa sama, usaha diplomatik oleh beberapa pihak termasuk Oman dan Perancis dilihat berusaha meredakan ketegangan di rantau berkenaan.

Pertemuan masih tanda tanya

Seorang pegawai kanan Iran memaklumkan, kemungkinan pertemuan diadakan di Doha, namun fokus dijangka lebih kepada pengurusan situasi di Selat Hormuz serta langkah meredakan ketegangan.

Sumber lain pula menyatakan, pasukan teknikal AS dan Iran mungkin bertemu secara berasingan dengan pengantara dari Qatar dan Pakistan.

Trump sendiri mengakui ketidaktentuan rundingan itu.

“Pertemuan di Doha mungkin penting, mungkin juga tidak. Kita akan lihat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, AS masih berada dalam kedudukan kukuh dari segi ketenteraan dan mengulangi pendirian bahawa Iran mesti dihalang daripada membangunkan senjata nuklear. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement