Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] "Manusia berusaha, Allah menentukan" - Syed Saddiq

AWANI
Syed Saddiq tiba di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya, bagi mendengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya berhubung empat kes menyeleweng dana Armada. - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya berhubung empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Syed Saddiq yang memakai kot berwarna hitam tiba pada jam 8.50 pagi diiringi Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Radzi Md Jidin.

Menjawab soalan media, Syed Saddiq dengan tenang menjawab beliau menyerahkan nasib kepada Allah SWT.

“Manusia boleh berusaha, Allah SWT menentukan,” jawabnya ringkas.

Ahli keluarga Syed Saddiq termasuk ibu dan bapa beliau bagaimanapun tiba lebih awal iaitu kira-kira pukul 7.15 pagi, diikuti tunangnya, Bella Astillah yang juga pelakon terkenal kira-kira pukul 7.55 pagi.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.

Rayuan itu sudah didengar selama dua hari dan pihak-pihak selesai berhujah di hadapan tiga panel berkenaan pada 12 Disember 2025.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Semasa rayuan akhir pendakwaan pada 12 Disember, dalam situasi yang jarang berlaku, Hakim Abu Bakar memberikan tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan itu selepas pihak-pihak selesai berhujah.

Beliau yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan berkata, pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, pada 17 Disember 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan Peguam Negara sudah mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

AGC memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

Must Watch Video

Advertisement