Skip to main content

Dunia

Piala Dunia berdepan ancaman gelombang haba, keselamatan pemain dan peminat jadi tumpuan

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - France fans walk across Brooklyn Bridge - Brooklyn Bridge, New York City, New York, U.S. - June 29, 2026 A France fan with a flag as they walk across Brooklyn Bridge ahead of their round of 32 match tomorrow against Sweden IMAGN IMAGES via Reuters/Caean Couto
Seorang penyokong Perancis membawa bendera negaranya ketika melintasi Jambatan Brooklyn menjelang perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia menentang Sweden. - Foto REUTERS

NEW YORK: Peminat dan pemain yang terlibat dalam Piala Dunia 2026 dijangka berdepan keadaan cuaca yang amat panas minggu ini apabila fenomena “kubah haba” melanda sebahagian besar kawasan tengah dan timur Amerika Syarikat serta beberapa bahagian Kanada ketika kejohanan memasuki pusingan kalah mati.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS), fenomena itu berlaku apabila kawasan tekanan udara tinggi yang besar memerangkap haba dan kelembapan, sekali gus menyebabkan suhu dirasai meningkat ke tahap berbahaya.

Indeks haba di beberapa kawasan Midwest dan Pantai Timur dijangka mencecah antara 40.5 hingga 46.1 darjah Celsius.

Keadaan cuaca panas melampau itu dijangka berterusan sehingga hujung minggu cuti Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat, dengan bandar-bandar tuan rumah Piala Dunia termasuk Toronto, Kansas City, Philadelphia dan East Rutherford di New Jersey dijangka turut terjejas.

Pakar meteorologi kanan AccuWeather, Alan Reppert, berkata suhu tinggi dijangka kekal walaupun selepas matahari terbenam.

“Walaupun selepas matahari terbenam, cuaca masih sangat panas. Corak cuaca semasa menunjukkan suhu tinggi pada waktu petang dan berterusan hingga waktu malam,” katanya.

Beliau turut meramalkan suhu di New York, yang akan menerima kehadiran ribuan penyokong bagi aksi pusingan 16 terbaik di Stadium MetLife, New Jersey pada 5 Julai, boleh mencapai tahap tertinggi sejak 2013.

Keadaan itu dijangka menghidupkan semula perdebatan mengenai keselamatan dan kebajikan pemain yang pernah dibangkitkan semasa Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat tahun lalu.

Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Dunia (FIFPRO) sebelum ini menyifatkan cuaca panas melampau sebagai amaran serius kepada bola sepak antarabangsa.

Bagi mengurangkan risiko, FIFA telah melaksanakan rehat hidrasi wajib selama tiga minit pada setiap separuh masa bagi semua perlawanan Piala Dunia tahun ini.

Langkah itu bertujuan membantu pemain mengekalkan tahap hidrasi dalam keadaan cuaca yang mencabar.

Bagaimanapun, sebahagian pengkritik berpendapat rehat tambahan tersebut boleh menjejaskan rentak permainan, manakala pakar iklim dan kesihatan sukan menegaskan langkah itu mungkin masih tidak mencukupi jika suhu terus meningkat.

Di Toronto, pihak berkuasa telah mengaktifkan pelan bantuan cuaca panas selepas amaran haba dikeluarkan bagi tempoh Selasa hingga Jumaat menjelang perlawanan pusingan 32 terbaik antara Portugal dan Croatia.

Beberapa venue seperti Atlanta, Dallas dan Houston mempunyai bumbung boleh tutup serta sistem pendingin hawa yang mampu memberikan kelegaan kepada pemain dan penyokong. Namun, stadium lain yang terbuka tetap berdepan cabaran besar akibat suhu tinggi dan kelembapan yang melampau.

Doktor kecemasan Pusat Perubatan Universiti Hackensack di New Jersey, Dr Alina Mitina, menggesa penyokong supaya sentiasa berada di kawasan teduh, minum air secukupnya dan peka terhadap tanda-tanda penyakit berkaitan haba seperti pening, keletihan dan dehidrasi.

“Kawasan yang mempunyai teduhan benar-benar boleh menyelamatkan nyawa dalam situasi seperti ini. Selagi terdapat banyak kawasan teduh dan bekalan air yang mencukupi, keadaan akan menjadi lebih selamat,” katanya.

Kajian saintifik sebelum ini turut memberi amaran bahawa kira-kira satu perempat daripada perlawanan Piala Dunia 2026 berpotensi berlangsung dalam keadaan yang melebihi had keselamatan haba yang disyorkan kepada pemain dan pegawai perlawanan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement