Skip to main content

Malaysia

"Saya sentiasa berada di belakangnya" - Bella Astillah ikrar setia di samping Syed Saddiq

SYED SADDIQ
Bella Astillah turut hadir menemani tunangnya, Syed Saddiq di Mahkamah Persejutuan, Putrajaya, hari ini, bagi mendengar prosing keputusan rayuan akhir pedakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar itu. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon Bella Astillah menitipkan kata-kata semangat buat tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, susulan penangguhan keputusan rayuan akhir kes mahkamah membabitkan Ahli Parlimen Muar itu pada Selasa.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah berkata, dia akan sentiasa memberikan sokongan padu dan menghormati apa sahaja keputusan serta proses perundangan negara.

"Semoga tabah… Insya-Allah, saya akan sentiasa berada di belakangnya. Kita menghormati mahkamah… ada perkara yang kita tak boleh nak jangkakan. 

"Kita doa yang terbaik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan bekas Menteri Belia dan Sukan itu kepada 13 Julai depan.

Penangguhan itu diumumkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais selaku pengerusi panel, berikutan salah seorang hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bercuti sakit selama dua hari bermula hari ini.

Seorang lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Keputusan pada 13 Julai depan bakal menentukan sama ada Syed Saddiq, 33, kekal bebas atau diperintahkan menjalani hukuman penjara membabitkan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan, keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini akan dikekalkan dan beliau akan terus dibebaskan.

Bagaimanapun, jika rayuan dibenarkan, Syed Saddiq berdepan hukuman mengikut sabitan bagi pertuduhan yang dihadapinya.

Must Watch Video

Advertisement