INCHEON: Peminat bola sepak Korea Selatan yang kecewa dengan penyingkiran awal pasukan negara pada Piala Dunia 2026 meluahkan kemarahan mereka terhadap ketua jurulatih Hong Myung-bo ketika skuad kebangsaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon awal pagi ini.
Hong, bekas pertahanan legenda Korea Selatan, mengumumkan peletakan jawatannya pada Ahad selepas pasukannya menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan satu kemenangan dan dua kekalahan, sekali gus gagal mara ke pusingan kalah mati.
Harapan untuk layak ke pusingan 32 terbaik sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik musnah selepas Korea Selatan dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Afrika Selatan dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka.
Setibanya di Incheon, Hong berjalan keluar dari balai ketibaan tanpa memberikan sebarang komen kepada media yang menunggunya.
Beliau disambut dengan laungan “Hong keluar!” dan sorakan boo daripada penyokong yang berkumpul di lapangan terbang.
Namun, suasana berbeza diberikan kepada para pemain apabila mereka menerima tepukan dan kata-kata penghargaan daripada penyokong yang tetap menghargai usaha pasukan sepanjang kejohanan.
“Terima kasih atas segala usaha anda!” jerit seorang penyokong kepada pemain-pemain yang keluar dari terminal, berbeza dengan reaksi negatif yang diterima Hong.
Puluhan penunjuk perasaan turut membawa sepanduk dengan mesej seperti “Bola sepak Korea Selatan sudah mati” dan “Hong mesti berundur”, sambil memukul gendang sebagai tanda bantahan terhadap prestasi pasukan.
Pihak polis mengawal ketat kawasan lapangan terbang dengan menempatkan lebih 100 anggota keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini susulan kemarahan penyokong terhadap jurulatih berusia 57 tahun itu.
Seorang penyokong, Kim Gi-mo, yang hadir di lapangan terbang berkata beliau tidak yakin peletakan jawatan Hong dilakukan dengan penuh tanggungjawab.
“Saya mempersoalkan sama ada peletakan jawatannya benar-benar ikhlas berdasarkan sikap yang ditunjukkannya ketika membuat pengumuman itu,” katanya.
“Beliau merosakkan pesta yang hanya berlangsung sekali setiap empat tahun.”
Sebelum kempen Piala Dunia bermula, keputusan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) melantik Hong pada 2024 sudah pun mengundang kontroversi, dengan pengkritik mempersoalkan ketelusan proses pelantikan tersebut.
Media Korea Selatan sebelum ini melabelkan skuad 2026 sebagai “generasi emas” kerana dibarisi pemain bertaraf antarabangsa seperti kapten Son Heung-min, pertahanan Bayern Munich Kim Min-jae dan bintang Paris Saint-Germain Lee Kang-in.
Jangkaan tinggi penyokong untuk melihat pasukan mara sekurang-kurangnya ke pusingan 16 terbaik bagaimanapun tidak kesampaian, terutama selepas keputusan Hong meletakkan Son di bangku simpanan pada separuh masa pertama perlawanan penting menentang Afrika Selatan.
Keputusan taktikal itu mencetuskan kritikan hebat dalam kalangan penyokong.
“Ia sangat mengejutkan apabila Son tidak diturunkan sejak awal menentang Afrika Selatan,” kata seorang pelajar universiti berusia 20 tahun, Song Min-kyung.
“Pada saya, itulah permulaan kepada segala yang tidak menjadi pada Piala Dunia kali ini.”
KFA tidak mengadakan sebarang majlis sambutan rasmi untuk skuad yang pulang, ketika badan induk bola sepak negara itu berdepan tekanan hebat untuk merombak struktur pengurusan dan mencari pengganti Hong bagi memulihkan keyakinan penyokong.