Skip to main content

Dunia

Lima maut di Itali, amaran merah diperluas ke 18 bandar susulan gelombang haba

A tourist shields her face from the sun near the Colosseum during a heatwave in Rome, Italy, June 20, 2026. REUTERS/Guglielmo Mangiapane TPX IMAGES OF THE DAY
Seorang pelancong melindungi wajahnya daripada terik matahari berhampiran Colosseum semasa gelombang haba di Rom, Itali. - Foto REUTERS

ROM: Sekurang-kurangnya lima individu dilaporkan maut di Itali ketika negara itu berdepan gelombang haba melampau, dengan pihak berkuasa memperluaskan amaran merah ke 18 bandar utama pada Jumaat.

Mangsa yang terkorban termasuk dua petani di wilayah utara Lodi dan Piacenza, seorang gelandangan di Naples, serta seorang lelaki yang meninggal dunia di sebuah tanah perkuburan di Garlasco, berhampiran Pavia di wilayah Lombardy.

Keputusan memperluaskan amaran tahap tertinggi itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Menteri Kesihatan, Orazio Schillaci, bagi membincangkan langkah tambahan menangani suhu ekstrem.

Bandar Genoa adalah lokasi terbaru yang dimasukkan dalam senarai amaran merah, menyertai beberapa bandar utama lain termasuk Rom, Milan, Florence, Venice, Turin dan Bologna.

Amaran merah menunjukkan keadaan cuaca yang boleh memberi risiko kesihatan serius bukan sahaja kepada kumpulan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik, tetapi juga kepada individu sihat.

Gelombang haba tersebut turut menjejaskan pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan awam dan pelancongan.

Muzium terkenal Uffizi Galleries di Florence terpaksa menangguhkan jualan tiket sehingga sekurang-kurangnya 28 Jun selepas sistem pendingin hawa mengalami kerosakan akibat suhu tinggi.

Di Verona, dua aras bangunan terkenal Rumah Juliet ditutup kepada pengunjung berikutan cuaca panas serta kesesakan.

Selain itu, perbicaraan mahkamah di Palermo turut digantung sementara kerana suhu yang sangat tinggi.

Media tempatan melaporkan peningkatan sekitar 20 peratus kemasukan ke jabatan kecemasan di wilayah Lombardy ketika gelombang haba semakin memuncak.

Di Milan, pelancong dilihat menggunakan payung dan kipas tangan serta berkumpul berhampiran air pancut di sekitar Katedral Duomo bagi mendapatkan kelegaan daripada cuaca panas.

Pakar meteorologi menjangkakan suhu akan mencapai tahap tertinggi menjelang hujung minggu, sekali gus meningkatkan lagi risiko kepada kesihatan awam.

Italy kini merupakan antara beberapa negara Eropah yang mengalami peningkatan suhu luar biasa sejak awal musim panas tahun ini.

Peningkatan angka kematian dan kes kemasukan hospital menunjukkan kesan serius gelombang haba terhadap masyarakat.

Pihak berkuasa terus menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengelakkan aktiviti luar ketika waktu puncak dan memastikan pengambilan air mencukupi.

Gelombang haba berpanjangan ini menambah kebimbangan terhadap kesan perubahan iklim global yang semakin ketara di seluruh Eropah.
 

 

Must Watch Video

Advertisement