Skip to main content

Dunia

Lapan maut selepas tanah runtuh timpa sekolah perempuan di kem pelarian Bangladesh

Rescuers work at the site of a landslide at a Rohingya refugee camp in Cox's Bazar, Bangladesh, Wednesday, July 8, 2026. (AP Photo/Shamimul Islam Faisal)
Anggota penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian tanah runtuh yang melanda kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto AP

COX'S BAZAR: Sekurang-kurangnya lapan individu, termasuk tujuh pelajar dan seorang guru, maut selepas kejadian tanah runtuh menimpa sebuah sekolah agama perempuan di dalam kem pelarian Rohingya di Bangladesh pada Rabu.

Pusat pengajian Islam yang terletak di bandar pesisir Cox's Bazar itu tertimbus dalam runtuhan tanah dan lumpur susulan hujan monsun berterusan, sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran. 

Jumlah sebenar individu yang berada di dalam bangunan ketika kejadian masih belum dapat dipastikan.

Menurut Pesuruhjaya Bantuan dan Pemulangan Pelarian Bangladesh, Mohammed Mizanur Rahman, seramai 13 mangsa berjaya dikeluarkan daripada timbunan lumpur yang menenggelamkan bangunan sekolah berkenaan.

“Lapan daripada mereka disahkan meninggal dunia, manakala lima lagi yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Pegawai daerah tempatan, Panna Akhter, memberitahu agensi berita antarabangsa BBC Bangla bahawa mangsa terdiri daripada kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Bangladesh dilanda hujan monsun lebat sejak Ahad lalu, dengan beberapa kejadian tanah runtuh dilaporkan di kawasan Cox's Bazar.

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan, sekurang-kurangnya lapan pelarian Rohingya lain, termasuk lima kanak-kanak, turut terbunuh akibat beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak awal minggu ini.

Lebih sejuta pelarian Rohingya kini menetap di Cox's Bazar, yang merupakan penempatan pelarian terbesar di dunia, selepas melarikan diri daripada operasi ketenteraan Myanmar pada 2017 yang mengorbankan ribuan nyawa dan memaksa lebih 700,000 penduduk menyeberangi sempadan ke Bangladesh.

Golongan Rohingya, yang majoritinya beragama Islam, tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha. 

Di Bangladesh, ramai pelarian Rohingya tinggal dalam kediaman sementara yang diperbuat daripada buluh dan kanvas plastik di kawasan lereng bukit yang berisiko tinggi mengalami tanah runtuh.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan berlakunya lebih banyak kejadian tanah runtuh dan banjir susulan ramalan hujan berterusan dalam beberapa hari akan datang, selain memindahkan keluarga yang tinggal di lokasi berisiko tinggi ke kawasan lebih selamat. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement