Skip to main content

Dunia

Kuwait pintas dua peluru berpandu balistik dilancarkan "musuh"

A drone view shows Kuwait City
Insiden itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa. - Gambar fail/Reuters

ISTANBUL: Tentera Kuwait mengumumkan pada awal pagi Ahad bahawa angkatan tenteranya memintas dan menangani dua peluru berpandu balistik "musuh", lapor Anadolu Ajansi.

Insiden itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa, menurut tentera dalam satu kenyataan di platform X dengan memetik jurucakap Kementerian Pertahanan Kolonel Saud Abdulaziz Al-Otaibi.

Angkatan tentera Kuwait "terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan cekap dan berkesan", menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan yang pihaknya melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan lapan lokasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu AS ke atas kedudukan Iran.

Kementerian Luar Kuwait turut menyuarakan "kecaman sekeras-kerasnya terhadap pencerobohan kejam berulang kali oleh Iran" di wilayahnya, sambil menyifatkan serangan itu sebagai "pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatannya."

Serangan itu juga menjejaskan usaha untuk meredakan ketegangan di Asia Barat, menurut kementerian itu, yang turut menegaskan "hak penuh" Kuwait untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi kedaulatannya.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement