SEOUL: Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan meluluskan pindaan undang-undang yang mewajibkan pemasangan sistem pengesan kamera tersembunyi di semua tandas awam bagi membendung jenayah rakaman video haram.
Pindaan terhadap Akta Tandas Awam itu menetapkan pihak berkuasa tempatan perlu memasang kemudahan keselamatan berkenaan serta menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.
Sebelum ini, undang-undang sedia ada hanya mewajibkan datuk bandar, ketua daerah dan ketua kawasan menyediakan kemudahan keselamatan asas seperti loceng kecemasan bagi mencegah jenayah serta kemalangan di tandas awam.
Langkah itu diambil susulan kebimbangan awam terhadap pelanggaran privasi selepas polis mengesan 1,457 kes rakaman video tanpa kebenaran di tandas awam antara 2021 hingga 2023.
Sebelum pindaan tersebut diluluskan, pihak berkuasa tempatan hanya menjalankan pemeriksaan berkala menggunakan peralatan pengesan kamera tersembunyi, namun kemudahan itu tidak disenaraikan secara rasmi sebagai peralatan keselamatan yang diwajibkan di bawah undang-undang.
Pindaan yang diluluskan dalam sidang pleno Perhimpunan Kebangsaan pada 23 Julai lalu kini meletakkan sistem pengesan kamera tersembunyi setaraf dengan loceng kecemasan sebagai kemudahan keselamatan wajib di tandas awam.