Skip to main content

Dunia

Kes Ebola di Congo meningkat kepada 1,759, korban cecah 600 orang

Congolese medical workers wearing personal protective equipment (PPE) prepare to bury the coffin of a patient who died of Ebola, as authorities intensify efforts to contain a new Ebola outbreak involving the Bundibugyo strain outbreak in Rwampara outside Bunia, Ituri province, Democratic Republic of Congo, May 21, 2026. REUTERS/Stringer
Wabak kali ini disebabkan oleh virus Ebola spesies Bundibugyo, yang ketika ini belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan. - Foto fail/REUTERS

KINSHASA: Republik Demokratik Congo (DRC) melaporkan jumlah kes Ebola yang disahkan meningkat kepada 1,759 kes, termasuk 600 kematian, ketika negara itu terus berdepan penularan wabak berkenaan yang disifatkan antara yang terbesar dalam sejarah negara itu.

Peningkatan jumlah kes itu menunjukkan penularan virus Ebola jenis Bundibugyo masih belum dapat dikawal sepenuhnya, walaupun usaha pengesanan kontak, rawatan pesakit dan kawalan kesihatan awam sedang dipergiatkan oleh pihak berkuasa tempatan dengan bantuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi antarabangsa lain.

Menurut WHO, wabak berkenaan mula dikesan di timur DRC pada Mei lalu sebelum merebak ke beberapa wilayah lain termasuk Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.

Kawasan yang terjejas turut berdepan cabaran keselamatan, krisis kemanusiaan dan pergerakan penduduk yang tinggi, sekali gus menyukarkan usaha membendung penularan penyakit itu.

WHO sebelum ini memberi amaran bahawa wabak tersebut masih berada dalam fasa penularan dan belum menunjukkan tanda-tanda stabil.

Pergerakan pekerja lombong serta penduduk yang mendapatkan rawatan di lokasi lain dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada penyebaran virus ke kawasan baharu.

Selain DRC, Uganda turut melaporkan kes berkaitan wabak sama, manakala beberapa kes import turut dikesan di luar rantau Afrika.

Namun, pihak berkuasa kesihatan antarabangsa menegaskan risiko penularan global masih berada pada tahap terkawal.

Wabak kali ini disebabkan oleh virus Ebola spesies Bundibugyo, yang ketika ini belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan.

Keadaan itu menjadikan usaha rawatan dan kawalan wabak lebih mencabar berbanding beberapa wabak Ebola sebelum ini.

Ebola ialah penyakit berjangkit yang boleh membawa maut dan merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

Gejala termasuk demam, keletihan melampau, muntah, cirit-birit dan pendarahan dalaman atau luaran.

 

 

Must Watch Video

Advertisement