Skip to main content

Malaysia

LINDUNG 24 jam kekal mandatori buat pekerja asing, sukarela buat pekerja tempatan

Lindung 24 Jam. Pix Perkeso.
Caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kekal mandatori bagi pekerja asing, manakala bagi pekerja tempatan pelaksanaannya kini secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

KUALA LUMPUR: Caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kekal mandatori bagi pekerja asing, manakala bagi pekerja tempatan pelaksanaannya kini secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Jemaah Menteri selepas meneliti pelbagai pandangan yang dikemukakan rakyat berhubung pelaksanaan skim berkenaan.

Menurut beliau, langkah itu memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk membuat pilihan sama ada ingin mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.

“Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan secara sukarela bagi pekerja tempatan akan diumumkan oleh PERKESO dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ramanan berkata, walaupun pelaksanaannya kini bersifat sukarela bagi pekerja tempatan, skim tersebut kekal sebagai inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sekiranya mengalami kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.

Katanya, komitmen untuk memastikan kebajikan dan keselamatan sosial seluruh tenaga kerja di negara ini sentiasa menjadi keutamaan PERKESO sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, KESUMA akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim berkenaan menjelang penghujung tahun ini.

“Penelitian itu merangkumi aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan serta kemampanan dana bagi memastikan skim ini terus mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sekiranya diperlukan, hasil penelitian tersebut akan dibentangkan ke Parlimen bagi tujuan cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya.

Beliau turut berkata, PERKESO akan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial selain memastikan rakyat menerima maklumat yang jelas dan tepat mengenai manfaat Skim LINDUNG 24 Jam supaya mereka dapat membuat keputusan terbaik.

Must Watch Video

Advertisement