MEXICO CITY: Pihak berkuasa Mexico menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri beberapa arca gangsa, termasuk karya seni milik pelukis dan pengarca surrealist terkenal Leonora Carrington, dari perkarangan sebuah gereja di daerah bersejarah ibu negara itu.
Menurut Sekretariat Keselamatan Awam Mexico City (SSC), suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada Rabu selepas ciri-ciri fizikal dan pakaiannya sepadan dengan individu yang dirakam kamera pengawasan ketika kejadian.
Pihak berkuasa turut memaklumkan lelaki berkenaan disyaki memiliki ganja semasa penahanannya.
Kes kecurian itu mula mendapat perhatian umum selepas paderi Gereja San Cosme, Jose de Jesus Aguilar, memuat naik rakaman video di media sosial yang menunjukkan beberapa karya seni hilang dari taman arca di perkarangan gereja berkenaan.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seorang individu memakai hoodie berwarna cerah memanjat tembok rendah sebelum menghampiri sebuah arca dan menggoyangkannya berulang kali sehingga terlepas daripada tapaknya.
Antara karya yang dicuri ialah 'Black Dog' hasil ciptaan Carrington, sebuah arca berbentuk anjing mistik yang dihasilkan menggunakan teknik tuangan logam tradisional.
Turut dilaporkan hilang ialah arca gangsa karya pengarca Cesar Ruiz Cureno yang diinspirasikan daripada lukisan surrealist Remedios Varo bertajuk 'Woman Leaving the Psychoanalyst', serta sebuah arca malaikat bersayap yang memeluk seorang kanak-kanak.
Carrington, yang dilahirkan di Lancashire, England, merupakan antara tokoh penting aliran surrealism di Mexico.
Beliau berhijrah ke Mexico City semasa Perang Dunia Kedua dan menjalin persahabatan rapat dengan pelukis kelahiran Sepanyol, Remedios Varo.
Media tempatan menganggarkan nilai keseluruhan karya seni yang dicuri antara 150,000 hingga 200,000 peso Mexico (kira-kira RM38,000 hingga RM50,000).
Bagaimanapun, SSC belum mengesahkan sama ada arca-arca berkenaan telah berjaya ditemukan semula.
Aguilar turut mendakwa beberapa plak bernilai tinggi dicuri dalam kejadian itu dan percaya suspek mungkin berniat menjual arca berkenaan sebagai bahan logam sekerap.
Beliau berkata suspek dipercayai memecahkan mangga pintu pagar sebelum melarikan karya-karya seni tersebut.
“Kami akan terus memastikan Paroki San Cosme kekal sebagai tempat ibadah serta ruang yang menghargai seni,” katanya.