Skip to main content

Malaysia

SPRM buka 81 kertas siasatan kes tuntutan palsu Program Daya Kerjaya 2.0

Putrajaya , 9 Julai 2026.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia , Datuk Seri Abd Halim Aman pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Aras 3, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya .Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman bercakap dalam sidang media di sini pada Khamis. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 81 kertas siasatan melibatkan 143 syarikat dan menahan 98 individu menerusi Ops Daya bagi membantu siasatan kes penyelewengan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dianggarkan RM9 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata daripada jumlah ditahan, sebanyak 77 individu telah direman manakala kes yang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 itu melibatkan 320 pekerja bagi tempoh 2024 hingga 2025.

Beliau berkata daripada 81 kertas siasatan yang dibuka di seluruh negara setakat semalam, sebanyak 69 melibatkan ejen, syarikat dan individu akan disyorkan untuk pendakwaan.

"Satu kertas siasatan masih diteruskan bagi mengesan sasaran utama, manakala lima lagi disyorkan untuk tiada tindakan lanjut (NFA)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abd Halim berkata setakat ini SPRM telah merakam percakapan 724 individu, membekukan 36 akaun syarikat membabitkan dana berjumlah RM463,076 serta menyita wang tunai, emas dan barang berharga bernilai RM74,168 bagi membantu siasatan.

Mengulas sama ada tindakan akan diambil terhadap PERKESO susulan kemungkinan wujud kecuaian dalam proses kelulusan insentif berkenaan, beliau berkata setakat ini tiada tindakan akan dikenakan terhadap agensi itu.

"Apa yang boleh dilakukan SPRM ialah memberikan khidmat nasihat. Kita akan menghantar pasukan daripada Bahagian Penyiasatan Tatakelola ke PERKESO bagi membantu mereka menyediakan prosedur dan tatakelola yang lebih ketat, khususnya berkaitan prosedur pemulangan wang.

"Enam kertas siasatan telah dirujuk kepada bahagian berkenaan untuk pembukaan Kertas Pemeriksaan Tatakelola (KPT) bagi meneliti kelemahan amalan, sistem dan tatacara kerja mereka. Kita akui terdapat kelemahan dari aspek tatakelola dan itulah antara punca perkara ini berlaku," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abd Halim mendedahkan PERKESO telah mengemukakan permohonan rasmi kepada SPRM untuk menempatkan seorang Pegawai Integriti di agensi itu susulan pembongkaran kes berkenaan.

"Setakat ini memang tiada Pegawai Integriti daripada SPRM di PERKESO namun selepas kes ini berbangkit, mereka telah memohon supaya seorang pegawai ditempatkan di sana dan SPRM akan menghantar seorang Pegawai Integriti dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata SPRM sentiasa terbuka untuk memberikan bimbingan dan khidmat nasihat berkaitan tatakelola kepada mana-mana agensi yang memerlukan sebagai usaha memperkukuh sistem penyampaian serta mengelakkan ketirisan dana awam pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement