Skip to main content

Hiburan

Penyanyi 'Total Eclipse of the Heart' Bonnie Tyler meninggal dunia

FILE PHOTO: Bonnie Tyler of Britain performs the song "Believe in Me" during the final of the 2013 Eurovision Song Contest at the Malmo Opera Hall in Malmo May 18, 2013. REUTERS/Jessica Gow/Scanpix Sweden SWEDEN OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN SWEDEN. ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. FOR EDITORIAL USE ONLY. NOT FOR SALE FOR MARKETING OR ADVERTISING CAMPAIGNS. THIS PICTURE IS DISTRIBUTED EXACTLY AS RECEIVED BY REUTERS, AS A SERVICE TO CLIENTS. NO COMMERCIAL SALES/File Ph
Bonnie Tyler (foto) menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Portugal akibat komplikasi penyakit ketika dirawat. -Gambar fail/Reuters

LISBON: Penyanyi legenda kelahiran Wales, Bonnie Tyler, yang terkenal menerusi lagu balada ikonik era 1980-an, "Total Eclipse of the Heart", meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Kenyataan rasmi dikeluarkan oleh keluarga serta pasukan pengurusannya mengesahkan mendiang menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Portugal akibat komplikasi penyakit ketika dirawat.

"Keluarga dan pasukan Bonnie dengan berat hati mengumumkan bahawa Bonnie telah meninggal dunia secara mengejut malam tadi di hospital di Portugal akibat penyakit yang sedang dirawatinya," menurut kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasmi beliau.

Sebelum ini, bintang rock terkenal itu dikejarkan ke sebuah hospital berhampiran kediamannya di Faro, selatan Portugal pada Mei lalu bagi menjalani pembedahan usus kecemasan akibat apendiks yang pecah.

Tyler kemudiannya dilapor diletakkan dalam keadaan koma bagi membantu proses pemulihan sebelum kembali sedar, namun kekal dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Dilahirkan dengan nama Gaynor Hopkins pada 1951, Tyler mula mencipta nama di persada muzik antarabangsa menerusi kelunakan suara seraknya yang unik, yang terhasil selepas beliau menjalani pembedahan pita suara pada akhir 1970-an.

Kemuncak kerjayanya diraikan menerusi lagu gubahan Jim Steinman, "Total Eclipse of the Heart", pada 1983 yang berjaya menduduki tangga teratas carta di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), selain menerima pencalonan Anugerah Grammy.

Lagu berkenaan terus mengekalkan popularitinya merentas generasi apabila melepasi satu bilion strim di Spotify tahun ini.

Sepanjang kerjayanya, beliau turut meraih populariti global menerusi beberapa lagu runut bunyi filem terkenal termasuk "Holding Out for a Hero" bagi filem "Footloose", selain mewakili UK dalam Pertandingan Lagu Eurovision pada 2013 menerusi lagu "Believe in Me".

Sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam industri muzik, beliau dianugerahkan Member of the Order of the British Empire (MBE) pada 2023.

Mendiang meninggalkan suami, Robert Sullivan, yang dikahwininya sejak 1973.

 

Must Watch Video

Advertisement