TEHRAN: Seorang anggota bomba terbunuh dalam serangan yang menyasarkan kemudahan di Lapangan Terbang Iranshahr di wilayah Sistan dan Baluchestan, tenggara Iran, menurut agensi berita negara Iran, IRNA.
Timbalan Gabenor Sistan dan Baluchestan yang juga Gabenor Iranshahr berkata empat letupan kuat kedengaran di seluruh bandar itu kira-kira jam 12.30 tengah malam waktu tempatan.
Beliau berkata pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa peluru atau projektil mengenai bangunan kemudahan penerbangan dan stesen meteorologi lapangan terbang berkenaan, menyebabkan kedua-dua struktur mengalami kerosakan.
Menurut beliau, pasukan kecemasan bergegas ke lokasi sejurus selepas kejadian.
Namun, seorang anggota bomba yang sedang bertugas, dikenal pasti sebagai Khaled Qaderi, terkorban dalam serangan itu.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengumumkan jumlah mangsa lain yang mungkin tercedera atau tahap kerosakan keseluruhan akibat serangan berkenaan.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat terus memuncak susulan siri serangan baharu dilancarkan Washington ke atas beberapa sasaran di Iran.
Media Iran turut melaporkan sistem pertahanan udara di beberapa kawasan selatan negara itu diaktifkan selepas letupan dilaporkan berlaku.
Perkembangan terbaharu itu dijangka meningkatkan lagi kebimbangan terhadap keselamatan di rantau Asia Barat yang kini berdepan risiko konflik lebih meluas.