Skip to main content

Teknologi

AI ubah landskap maklumat, integriti jadi cabaran - Setiausaha Agung PBB bagi Komunikasi Global

[TB]_melissa felming, UN_ASTRO AWANI
Fleming bercakap ketika menghadiri program “Information Integrity in the Digital Age: Strengthening Trust, Countering Hate Speech and Misinformation” di ibu negara, pada Khamis. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI) memberi cabaran baharu dalam mengekalkan integriti maklumat dalam ruang digital, menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Komunikasi Global, Melissa Fleming.

Ujar Fleming, sebelum kemunculan AI lagi, media sosial telah mewujudkan landskap maklumat yang mencabar apabila disinformasi dan ucapan kebencian mudah tersebar.

Justeru, keadaan itu menyebabkan masyarakat semakin hilang kepercayaan bukan sahaja terhadap maklumat yang diterima, malah terhadap institusi serta individu yang berusaha untuk kepentingan awam.

“Media sosial telah mewujudkan landskap maklumat yang toksik apabila disinformasi dan ucapan kebencian tersebar secara bebas, manakala fakta dan sains semakin dipersoalkan.

“Akibatnya, masyarakat menjadi sangat tidak percaya bukan sahaja kepada maklumat, tetapi juga terhadap institusi dan mereka yang bekerja untuk kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program “Information Integrity in the Digital Age: Strengthening Trust, Countering Hate Speech and Misinformation” di ibu negara, pada Khamis.

Fleming berkata, masyarakat memerlukan fakta yang dikongsi bersama dan boleh dipercayai bagi memastikan dunia dapat bergerak ke arah lebih baik.

Namun katanya, kemunculan AI menimbulkan kebimbangan baharu kerana teknologi itu boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperluas penyebaran maklumat palsu.

“Dengan kemunculan AI, kami amat bimbang keadaan ini akan menjadi lebih buruk dan sememangnya semakin buruk.

“Mereka yang menyebarkan disinformasi kini mempunyai alat yang sangat berkuasa untuk memperbanyakkan kandungan berbahaya dalam ruang maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, Fleming berkata, model bahasa besar (Large Language Models, LLM) yang digunakan dalam teknologi AI turut membawa cabaran kerana ia dilatih menggunakan maklumat daripada internet yang tidak semuanya tepat.

Menurut Fleming, pergantungan berlebihan terhadap AI sebagai sumber maklumat boleh menyebabkan masyarakat kehilangan keupayaan untuk membuat penilaian sendiri serta menjejaskan pengetahuan mereka.

“Kami bimbang jika orang terlalu bergantung kepada AI sebagai sumber maklumat, mereka akan kehilangan keupayaan membuat penilaian sendiri dan mungkin juga kehilangan pengetahuan,” katanya.

Sementara itu, Fleming berkata, golongan muda mempunyai peranan penting dalam membentuk persekitaran maklumat yang lebih baik dengan menggunakan media sosial untuk menyebarkan mesej positif.

Tambahnya,  tujuan dia berinteraksi dengan golongan muda mengenai integriti maklumat adalah untuk menunjukkan bahawa mereka mampu mengubah persekitaran maklumat dengan berkomunikasi secara positif serta berkongsi mesej yang membawa perubahan kepada dunia.

"Pada masa sama, mereka juga perlu menuntut agar platform media sosial mengambil tanggungjawab untuk menjadikan ruang ini lebih selamat, supaya orang ramai boleh berkomunikasi dan menzahirkan pandangan secara bebas tanpa diserang.

"Itulah mesej utama saya. Namun, bagi saya, penting juga untuk mendengar pandangan golongan muda, memahami kebimbangan serta persoalan yang mereka hadapi," jelasnya lagi.

Must Watch Video

Advertisement