TELUK OMAN: Trafik perkapalan melalui Selat Hormuz hampir terhenti awal Khamis selepas serangan baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran dan serangan berulang terhadap kapal komersial, sekali gus menggugat keyakinan terhadap laluan sempit tenaga paling penting di dunia, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut data penjejakan kapal, pergerakan yang dapat dikesan sebahagian besarnya tertumpu di laluan yang diluluskan Iran berhampiran bahagian utara selat itu, manakala koridor Oman yang disokong AS dilaporkan lengang.
Dalam kalangan kapal mega, hanya sebuah kapal tangki yang dikenakan sekatan AS dan sedang keluar dari Teluk Parsi serta sebuah kapal kontena berbendera Iran dilihat berada di laluan itu.
Data kapal awam mengenal pasti kapal kontena berkenaan sebagai Touska, yang dikesan belayar di Selat Hormuz di bawah bendera Iran.
Kelembapan itu menandakan perubahan ketara berbanding pemulihan singkat susulan perjanjian sementara AS-Iran pada pertengahan Jun, yang membuka semula selat itu dan membolehkan kargo mula keluar dari Teluk.
Kira-kira 14 kapal pengangkut komoditi merentasi selat itu melibatkan kedua-dua arah pada Rabu, jumlah terendah sejak perjanjian damai sementara dicapai, menurut data Kpler yang dipetik Bloomberg.
Purata harian lintasan kapal komoditi adalah sebanyak 34 dalam tempoh tiga minggu selepas perjanjian itu, dengan jumlah lintasan memuncak kepada 59 pada 24 Jun.
Gangguan terbaharu itu menyusuli gelombang baharu serangan terhadap kapal berhampiran selat berkenaan, termasuk kapal LNG Qatar dan kapal tangki minyak mentah berkaitan Saudi, yang mendorong Washington melancarkan serangan baharu terhadap sasaran Iran.
Presiden AS Donald Trump turut berkata gencatan senjata dengan Iran sudah berakhir.
Pergerakan kapal tangki LNG melalui selat itu masih terhenti, manakala dua kapal kosong baru-baru ini memasuki Teluk Oman dan menuju ke pintu masuk timur Hormuz.
Laporan penjejakan kapal baru-baru ini mengenal pasti beberapa kapal yang terjejas akibat gangguan itu, termasuk kapal LNG dikawal QatarEnergy iaitu Al Ghariya, Duhail dan Al Ruwais, yang berpatah balik dari selat berkenaan.
Turut terjejas ialah kapal tangki minyak mentah (VLCC) berbendera India, Lila Vadinar, yang membuat pusingan U di luar Oman ketika membawa minyak mentah Kuwait.
Kapal tangki minyak mentah lain termasuk Mercury Hope, Tenjun dan Pertamina Pride pula berjaya keluar dari selat itu awal minggu ini walaupun keadaan keselamatan semakin merosot.
Terdapat juga tanda-tanda gangguan elektronik baharu di Teluk Oman, apabila beberapa kapal muncul dalam sistem penjejakan seolah-olah bergerak pada kelajuan luar biasa berhampiran Oman.
Kejanggalan seperti itu boleh menunjukkan gangguan isyarat navigasi dan mungkin menjejaskan kebolehpercayaan data penjejakan kapal.
Selat Hormuz ialah laluan penting bagi perdagangan tenaga global, dengan kira-kira 20 juta tong sehari minyak mentah dan produk petroleum melalui laluan itu pada 2025, atau sekitar satu perempat daripada perdagangan minyak dunia melalui laut, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa.
Agensi itu turut menyatakan kebanyakan eksport LNG dari Qatar dan Emiriah Arab Bersatu melalui laluan berkenaan, menjadikan sebarang gangguan berpanjangan sebagai risiko besar kepada pasaran minyak dan gas global.
-- BERNAMA-ANADOLU