Skip to main content

Sukan

Saibari terlepas aksi suku akhir Piala Dunia, Maghribi tetap yakin cabar Perancis

Morocco's Ismael Saibari (11) is seen on the ground as he receives medical attention from his team during the World Cup round of 16 soccer match between Canada and Morocco, in Houston, Saturday, July 4, 2026. (AP Photo/Karen Warren)
Pemain Maghribi, Ismael Saibari (11), menerima rawatan daripada pasukan perubatannya selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia antara Kanada dan Maghribi di Houston. - Foto AP

FOXBOROUGH: Maghribi bakal turun tanpa pemain tonggak Ismael Saibari dalam pertemuan suku akhir Piala Dunia menentang Perancis, namun jurulatih Mohamed Ouahbi menegaskan pasukannya tidak merancang sebarang taktikal luar biasa untuk menghadapi lawan berstatus pilihan itu.

Saibari disahkan tidak cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan hamstring ketika kemenangan 3-0 ke atas Kanada pada pusingan 16 terbaik.

“Dia belum bersedia, tetapi saya berharap ini bukan pengakhiran kejohanan buatnya,” kata Ouahbi pada sidang media menjelang perlawanan di Foxborough.

Kehilangan Saibari dianggap tamparan buat Maghribi memandangkan pemain itu menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan selain menyempurnakan sepakan penalti penentuan ketika pasukannya menyingkirkan Belanda pada pusingan kalah mati sebelum ini.

Walaupun berdepan cabaran sukar menentang Perancis, Ouahbi berkata pendekatan pasukannya tidak akan berubah.

“Kami mempunyai idea yang jelas tentang cara permainan yang mahu diterapkan. Apabila menguasai bola, kami perlu memberi ancaman kepada mereka, sama ada melalui bahagian sayap atau bahagian tengah. Kami perlu bersabar dan mencari ruang yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Menurut beliau, Maghribi sudah membuktikan kemampuan mereka untuk menyukarkan mana-mana pasukan dalam kejohanan itu dan akan berusaha mengulangi pencapaian tersebut ketika berdepan Perancis.

Pertembungan itu mengulangi perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar yang menyaksikan Perancis menewaskan Maghribi 2-0, sekali gus menamatkan kemaraan bersejarah wakil Afrika itu.

Bagaimanapun, Ouahbi berkata situasi kali ini berbeza kerana kedua-dua pasukan telah berkembang sejak empat tahun lalu.

“Setiap perlawanan mempunyai konteks dan sejarahnya sendiri. Kami akan menentang pasukan Perancis yang berbeza berbanding empat tahun lalu, dan kami juga pasukan yang berbeza. Kedua-dua pasukan kini lebih baik,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa Maghribi sudah mencapai kejayaan besar hanya dengan mara ke suku akhir.

“Kami tidak mahu mendengar bahawa apa yang kami lakukan setakat ini sudah memadai. Perancis mungkin pasukan pilihan, tetapi kami akan melakukan segala yang termampu untuk menang. Berada di tahap ini bukan bonus. Bonus sebenar ialah memenangi Piala Dunia,” katanya.

Perancis, yang diketuai penyerang bintang Kylian Mbappe, dilihat sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi, manakala Maghribi berazam mencipta sejarah sebagai negara Afrika pertama menjuarai Piala Dunia.
 

 

Must Watch Video

Advertisement