KUALA LUMPUR: Kerjasama dalam sektor agromakanan dalam kalangan negara anggota BRICS serta antara kumpulan itu dengan negara lain akan banyak menentukan hala tuju pembangunan ekonomi dan perdagangan global pada masa depan, menurut wakil Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di Rusia.
Pengarah Pejabat Perhubungan FAO dengan Persekutuan Rusia, Oleg Kobiakov berkata, negara anggota BRICS menyumbang lebih satu pertiga daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global serta bahagian besar perdagangan antarabangsa, termasuk produk pertanian dan industri berkaitan, lapor TV BRICS.
“Arah utama di sini sudah tentu adalah memastikan pembangunan mampan sistem agromakanan.
“Ini termasuk mewujudkan rangka kerja kawal selia, bertukar amalan terbaik, memastikan syarat akses pasaran yang adil kepada pengeluar serta memanfaatkan keseluruhan spektrum inovasi berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan penerapan pencapaian saintifik di peringkat nano-molekul, termasuk dalam pembiakbakaan tanaman dan haiwan,” katanya dalam temu bual bersama TV BRICS sempena Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF).
Kobiakov berkata, populasi negara BRICS yang merangkumi 42 peratus penduduk dunia didominasi golongan muda, sekali gus menjadikan tumpuan terhadap golongan belia penting dalam pembangunan sektor pertanian kerana mereka merupakan masa depan pengeluaran dan penggunaan global.
Beliau turut menekankan kepentingan membangunkan serta menyokong sektor perladangan dan pertanian, sambil menyifatkan petani sebagai tunjang kestabilan sosial.
“Di kebanyakan negara di seluruh dunia, sebahagian besar pengeluaran pertanian disumbangkan oleh ladang pertanian. Petani membantu mengekalkan komuniti luar bandar yang mampan,” kata Kobiakov.
SPIEF ke-29 sedang berlangsung di St. Petersburg, Rusia hingga 6 Jun.
-- BERNAMA