ATHENS: Keadaan keselamatan Switzerland dilaporkan semakin meruncing berikutan pelbagai ancaman yang muncul, kata ketua perkhidmatan risikan negara itu pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita tempatan.
"Sistem antarabangsa sedang mengalami pergolakan yang besar, menyaksikan krisis dan konflik semakin meningkat di sekitar Eropah," kata Pengarah Perkhidmatan Risikan Persekutuan Switzerland, Serge Bavaud, memetik laporan agensi berita kerajaan, Swissinfo.
"Persekitaran perlindungan Switzerland kini semakin terhakis – dari arah timur, barat mahupun selatan," kata Bavaud.
Menurut beliau, "ancaman Rusia" merupakan cabaran paling besar yang dihadapi oleh Switzerland ketika ini. Bavaud mendakwa Moscow sedang berusaha untuk melemahkan sistem demokrasi Barat melalui peperangan hibrid, di samping terus menempatkan puluhan pegawai perisikan yang disyaki di negara berkenaan, kebiasaannya di bawah perlindungan diplomatik.
Beliau turut berhujah bahawa peperangan di Iran meningkatkan lagi kemungkinan berlakunya tindakan ganas yang menyasarkan kepentingan komuniti Yahudi atau Amerika Syarikat di Switzerland.
-- BERNAMA-ANADOLU