Skip to main content

Dunia

Juruterbang AS, wanita tertua ke angkasa lepas, Wally Funk meninggal dunia pada usia 87

Wally Funk reacts after receiving her astronaut's wings from Blue Origin's Jeff Ashby, a former space shuttle commander at a post-launch press conference after she flew with three crewmates on Blue Origin's inaugural flight to the edge of space, in the nearby town of Van Horn, Texas, U.S., July 20, 2021. REUTERS/Joe Skipper/File Photo
Funk melakukan perjalanan ke angkasa lepas ketika berusia 82 tahun pada 2021 bersama pengasas Amazon, Jeff Bezos dengan menaiki kapal angkasa New Shepard milik Blue Origin, sekali gus menjadi wanita tertua yang pernah berbuat demikian. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Perintis penerbangan Amerika Syarikat (AS), Wally Funk meninggal dunia pada usia 87 tahun, menurut jurucakap bandar Grapevine di Texas pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Funk yang melakukan perjalanan ke angkasa lepas pada 2021 ketika berusia 82 tahun dan mencipta rekod usia meninggal dunia pada Rabu di Grapevine, menurut jurucakap itu.

Beliau meninggal dunia di rumah atas sebab semula jadi dengan ditemani insan tersayang.

“Kami amat berdukacita atas pemergian Wally Funk,” menurut syarikat angkasa lepas AS Blue Origin milik pengasas Amazon, Jeff Bezos menerusi hantaran di platform media sosial X.

Funk melakukan perjalanan ke angkasa lepas bersama Bezos pada 2021 dengan menaiki kapal angkasa New Shepard milik Blue Origin, sekali gus menjadi wanita tertua yang pernah berbuat demikian.

“Kami berbesar hati dan rendah hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan beliau,” menurut syarikat itu.

Bekas juruterbang AS itu merupakan wanita pertama dilantik sebagai pemeriksa keselamatan penerbangan di Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), selain menjadi tenaga pengajar wanita pertama di Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Pada 1960-an, beliau menamatkan program latihan untuk wanita yang berhasrat terbang ke angkasa lepas, namun, tidak dipilih menyertai sebarang misi.

“Keazaman Wally Funk yang tidak pernah luntur membuktikan bahawa impian tidak mempunyai tarikh luput,” kata Ahli Majlis Bandaraya Grapevine Duff O’Dell, yang juga rakan rapat Funk, dalam kenyataan di Facebook.

O’Dell berkata, pencapaian Funk menjadi kebanggaan Grapevine, sebuah bandar dengan populasi kira-kira 51,000 orang di kawasan Dallas.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement