Skip to main content

Dunia

Israel musnahkan infrastruktur bawah tanah Hezbollah di selatan Lubnan

Israeli military APCs parked in northern Israel, near the border with Lebanon, Jun 27, 2026 after Israel and Lebanon sign a framework agreement, described as a first step toward peace following months of conflict between Israel and the Lebanese militant group Hezbollah. (Photo: AP/Ariel Schalit)
Kenderaan pengangkut perisai tentera Israel diparkir di utara Israel, berhampiran sempadan dengan Lubnan, pada Sabtu selepas Israel dan Lubnan menandatangani perjanjian rangka kerja yang disifatkan sebagai langkah awal ke arah keamanan susulan beberapa bulan konflik antara Israel dan Hezbollah. - Gambar AP

KAHERAH: Tentera Israel memusnahkan infrastruktur bawah tanah milik kumpulan militan Hezbollah di sebuah kampung di selatan Lubnan, menurut kenyataan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz pada Ahad.

Menurut kenyataan tersebut, Amerika Syarikat telah dimaklumkan lebih awal mengenai serangan itu yang menyasarkan sebuah terowong sepanjang 200 meter di bandar Majdal Zoun.

Kenyataan Israel berkata, terowong berkenaan mengandungi ratusan senjata dan pelancar.

Serangan itu berlaku beberapa jam selepas tentera Israel memaklumkan mereka melancarkan serangan terhadap anggota Hezbollah yang bersenjata pelancar roket, selain memusnahkan sebuah pelancar roket di kawasan Nabatieh, selatan Lubnan.

Perkembangan itu berlaku susulan perjanjian keselamatan yang diusahakan Amerika Syarikat dan dipersetujui Lubnan serta Israel pada Jumaat, yang memperuntukkan pengunduran berperingkat tentera Israel dari beberapa kawasan di selatan Lubnan, seiring penempatan tentera Lubnan.

Namun, tentera Israel dibenarkan kekal di zon keselamatan yang diperluaskan buat sementara waktu.

Pemimpin Hezbollah, Naim Qassem bagaimanapun menolak perjanjian itu, menyifatkannya sebagai satu bentuk penyerahan kepada Israel dan menegaskan kumpulan itu akan terus melancarkan penentangan bersenjata.

Dalam kenyataan lewat Ahad, Netanyahu menegaskan, tentera Israel akan terus berada di zon keselamatan di selatan Lubnan serta meneruskan operasi memusnahkan infrastruktur yang dianggap sebagai ancaman, demi keselamatan penduduk Israel.

Konflik tersebut telah memaksa lebih sejuta rakyat Lubnan meninggalkan kediaman mereka, ketika ketegangan serantau yang lebih luas turut melibatkan Iran terus memuncak.

Hezbollah dan Iran mendakwa, Washington sebelum ini berjanji untuk menamatkan permusuhan di Lubnan sebagai sebahagian daripada memorandum persefahaman yang ditandatangani dua minggu lalu bagi menamatkan konflik lebih besar di rantau itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement