Skip to main content

Dunia

Putin akui Rusia kekurangan bahan api, pasukan petugas ditubuhkan pastikan bekalan mencukupi

Russian President Vladimir Putin speaks to graduates from the Time of Heroes educational program for those who fought in Ukraine at the Kremlin in Moscow, Friday, May 22, 2026. (Sergei Bulkin, Sputnik, Kremlin Pool Photo via AP)
Putin mengakui, masalah bekalan bahan api telah menyebabkan kekurangan di beberapa wilayah negara itu, dengan satu pasukan petugas ditubuhkan bagi memastikan bekalan mencukupi di seluruh negara. - Gambar fail AP

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin mengakui, masalah bekalan bahan api telah menyebabkan kekurangan di beberapa wilayah negara itu, dengan satu pasukan petugas ditubuhkan bagi memastikan bekalan mencukupi di seluruh negara.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan berhubung bekalan dan pengedaran bahan api, sambil menegaskan keperluan mengambil langkah bagi mengurangkan kesan serangan dron Ukraine terhadap kemudahan minyak.

Putin turut mengakui, masalah itu masih memberi kesan kepada pengguna dan perniagaan, termasuk kewujudan barisan panjang di stesen minyak di beberapa kawasan.

Menurutnya, kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa langkah termasuk kemungkinan melaksanakan larangan penuh eksport diesel bagi memastikan bekalan domestik kekal mencukupi.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan menjamin bekalan bahan api kepada sektor pertanian, khususnya bagi memastikan kelancaran musim menuai.

Putin berkata, stok petrol negara kini digunakan dan dianggarkan sekitar 1.7 juta tan metrik, dengan pengeluaran pada Julai dijangka melebihi paras yang direkodkan pada Jun.

Beliau menambah, pasukan petugas berkaitan bekalan bahan api kini beroperasi sepanjang masa, sambil menegaskan situasi semasa memerlukan langkah sistemik yang sepadan dengan cabaran semasa bagi meningkatkan bekalan dan mengekalkan harga pada tahap munasabah. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement