Skip to main content

Dunia

Iran gesa AS tetapkan garis masa pengunduran 'tanpa syarat' Israel dari Lubnan

A man walks next to a symbolic mock-up of an Iranian missile, on a street in Tehran, Iran, June 11, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Iran menggesa AS menetapkan garis masa bagi pengunduran "tanpa syarat" Israel dari wilayah Lubnan yang didudukinya, selaras dengan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara Tehran dan Washington untuk menamatkan perang. - Gambar fail Reuters

ISTANBUL: Iran menggesa Amerika Syarikat (AS) menetapkan garis masa bagi pengunduran "tanpa syarat" Israel dari wilayah Lubnan yang didudukinya, selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Tehran dan Washington untuk menamatkan perang, lapor Anadolu Ajansi.

"Menamatkan perang dan operasi ketenteraan rejim Zionis terhadap Lubnan, selain pengunduran pihak pendudukan dari semua wilayah Lubnan yang diduduki, merupakan syarat penting untuk mencapai perjanjian muktamad dan berkekalan bagi mewujudkan kestabilan di rantau ini," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei pada sidang media yang dipetik agensi berita ISNA.

Baqaei berkata, Tehran menganggap memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, selain "maruah dan keselamatan seluruh rakyat Lubnan", sebagai elemen penting bagi menjamin kelangsungan sebarang perjanjian berkaitan usaha menamatkan perang dengan AS.

Beliau berkata, Iran meletakkan tuntutan untuk "menamatkan perang dan operasi ketenteraan rejim Zionis di Lubnan, seiring dengan penamatan perang terhadap Iran" sebagai keutamaan dalam persefahaman gencatan senjata pada April serta memorandum bertarikh 18 Jun.

Baqaei turut berkata, Iran menjangkakan Washington memenuhi komitmennya di bawah memorandum itu dan "mengambil semua langkah yang perlu untuk memaksa rejim Zionis menghentikan sebarang pencerobohan dan operasi ketenteraan di seluruh wilayah Lubnan."

Tehran turut menggesa garis masa bagi pengunduran tanpa syarat dari wilayah Lubnan yang diduduki ditetapkan dengan segera, katanya.

Sementara itu, Speaker Parlimen Iran yang juga ketua perunding negara itu, Mohammad Bagher Qalibaf berkata, dalam perbualan telefon dengan Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri bahawa Tehran sedang "bersungguh-sungguh mengusahakan" penamatan perang di Lubnan.

Menurut media Iran, Qalibaf berkata, antara isu utama yang dibincangkan dalam rundingan dengan AS di Switzerland minggu lepas ialah menamatkan perang di Lubnan serta memulihkan kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu.

Beliau berkata, isu itu merupakan komponen utama fasal pertama Memorandum Islamabad dan susulan bantahan Iran terhadap pelanggaran peruntukan berkenaan, ketiga-tiga pihak bersetuju menubuhkan satu unit kawalan konflik melibatkan Iran, AS dan Lubnan bagi memantau pelaksanaannya.

"Matlamat kami ialah menamatkan perang di Lubnan, membolehkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal pulang ke kediaman masing-masing, menamatkan pendudukan dan memastikan pengunduran rejim Zionis dari wilayah Lubnan," kata Qalibaf.

Perkembangan itu berlaku ketika Iran dan AS meneruskan usaha melaksanakan persefahaman 14 perkara yang dicapai selepas beberapa minggu ketegangan di rantau itu serta rundingan diplomatik.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement