Skip to main content

Politik

PRN Johor: Nelayan Parit Jawa harap isu pendapatan, kebajikan diberi perhatian

Nelayan Parit Jawa
Kampung Nelayan Parit Jawa, laut bukan sekadar pemandangan. Ia adalah sumber rezeki dan harapan nelayan setiap hari. - Gambar: Astro AWANI.

MUAR: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, isu kelangsungan hidup dan ekonomi harian menjadi antara kebimbangan utama pengundi, khususnya dalam kalangan komuniti nelayan di Parit Jawa. 

Tinjauan Astro AWANI di kampung nelayan Parit Jawa mendapati, rata-rata nelayan berdepan cabaran apabila hasil tangkapan ikan semakin tidak menentu, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan harian mereka.

Menurut Mohamad Nor Azali yang bekerja sebagai nelayan selama 10 tahun, perubahan yang berlaku di kawasan perairan turut didakwa memberi kesan kepada ekosistem laut serta kawasan tangkapan ikan mereka.

Keadaan itu menyebabkan hasil tangkapan semakin berkurangan berbanding sebelum ini.

“Masalah sekarang ini pasal kapal, kawasan jaring tu dah tak boleh nak takung air, maknanya ikan pun dah kurang… tangkapan sekarang tak menentu, kadang ada kadang tak ada.

"Tangkapan ikan sekarang tak menentu, kadang ada kadang tak ada. macam tadi memang tak ada. orang kata nelayan ni 'maut' lah orang panggil kalua tak ada ikan," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Seorang lagi anak jati Parit Jawa,  Aliff Azhar yang bekerja sebagai penjual barang basah mengaharapkan wakil rakyat yang dipilih kelak dapat memberi perhatian kepada kebajikan komuniti nelayan, termasuk menyediakan kemudahan serta bantuan yang diperlukan.

“Kita harapkan kalau calon menang, tengoklah kawasan nelayan ni… bagi kemudahan, bantu apa yang patut… satu hari jualan pun kurang daripada RM500.

“Kami berharap ada usaha naik taraf. Sebagai anak jati kampung nelayan, peluang untuk membuka gerai dapat mengembalikan semangat kami untuk berniaga,” katanya.

Dakwaan berhubung perubahan di kawasan perairan itu merupakan pandangan komuniti setempat dan setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, bagi penduduk setempat, keutamaan kekal tertumpu kepada keperluan asas termasuk kemudahan perniagaan, sokongan kepada nelayan serta peluang menjana pendapatan yang lebih stabil.

Di DUN Sungai Balang, pertandingan PRN Johor melibatkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), dengan kempen turut memberi tumpuan kepada isu pembangunan setempat serta kesejahteraan komuniti pesisir.

Dalam masa sama, penduduk turut memaklumkan terdapat perancangan pembangunan di kawasan muara dan berharap sebarang pelaksanaan pada masa hadapan dapat mengambil kira kepentingan serta kelangsungan hidup komuniti setempat.

Bagi penduduk di kawasan itu, di sebalik persaingan politik dan strategi parti, keutamaan mereka kekal kepada sejauh mana suara serta kebajikan komuniti benar-benar diberi perhatian dan dilindungi.

Must Watch Video

Advertisement