KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah bagasi di ruang tamu sebuah rumah di Taman Impian Indah, Kajang, pada malam Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner (ACP) Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 8.37 malam, sebelum sepasukan anggota polis bersama Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati satu mayat wanita ditemukan di dalam sebuah bagasi di ruang tamu rumah berkenaan dan disahkan telah meninggal dunia.
"Identiti mangsa serta bangsanya masih belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan," katanya pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau dipenjara tidak kurang 30 tahun dan sehingga maksimum 40 tahun serta dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Nur Ayuni Aziz di talian 016-2080717 atau menghubungi talian kecemasan 999 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Malaysia
Mayat wanita ditemukan dalam bagasi di sebuah rumah di Kajang
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner (ACP) Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 8.37 malam.