BUDAPEST: Hungary mengarahkan penjawat awam bekerja dari rumah mulai Isnin susulan cuaca panas melampau yang melanda negara itu, sekali gus memaksa kerajaan melaksanakan beberapa langkah kecemasan termasuk sekatan penggunaan air, had kelajuan kereta api dan nasihat kesihatan, lapor Xinhua.
Perdana Menteri Peter Magyar berkata semua institusi sektor awam akan melaksanakan kaedah bekerja dari rumah jika keadaan operasi mengizinkan, selain menggesa majikan sektor swasta mengambil pendekatan sama.
Pihak berkuasa turut menasihati orang ramai supaya menangguhkan aktiviti di luar bangunan ketika suhu berada pada paras tertinggi bagi mengurangkan risiko kesihatan.
Hungary kini berada di bawah amaran haba tahap tiga, iaitu amaran tertinggi negara itu, dengan suhu dijangka mencecah antara 35 hingga 40 darjah Celsius di kebanyakan kawasan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Menurut perkhidmatan meteorologi HungaroMet, rekod suhu maksimum harian bagi 27 Jun dipecahkan pada Sabtu apabila suhu mencecah 40.0 darjah Celsius di Budakalasz dan 39.8 darjah Celsius di Budapest.
Cuaca panas yang berpanjangan mula menjejaskan perkhidmatan awam dan infrastruktur.
Had kelajuan masih dikuatkuasakan di 25 laluan kereta api berikutan suhu tinggi, manakala paip bekalan air yang pecah menyebabkan gangguan sementara kepada ribuan pengguna di Balatonfured dan bandar Gyor di barat negara itu.
Beberapa pihak berkuasa tempatan turut mengenakan sekatan sementara terhadap penggunaan air bukan keperluan susulan peningkatan kadar penggunaan.
Penduduk di kawasan terjejas diminta tidak menyiram taman, mengisi kolam renang, mencuci kenderaan atau menggunakan air bagi tujuan lain yang tidak penting pada waktu siang.
Setakat petang Ahad, pihak berkuasa melaporkan hanya tiga kes berkaitan haba yang memerlukan rawatan perubatan di seluruh negara, tanpa sebarang insiden besar melibatkan keselamatan awam.
Hungary merupakan antara beberapa negara di Eropah Tengah yang sedang berdepan cuaca panas melampau termasuk Jerman, Poland dan Republik Czech yang turut merekodkan suhu luar biasa sepanjang hujung minggu.
-- BERNAMA-XINHUA