GENEVA: Wabak hantavirus kini menghampiri penghujungnya selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam kalangan individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Menerusi hantaran di platform X, Tedros berkata semua kontak rapat kepada dua kes yang dikenal pasti di Afrika Selatan telah melengkapkan tempoh pemantauan tanpa sebarang kes tambahan dikesan.
Beliau berkata tempoh kuarantin dan pemantauan turut selesai bagi semua individu di Sepanyol dan Belanda, termasuk kru kapal persiaran MV Hondius.
"Sehingga 25 Jun, seramai 30 kontak masih berada di bawah pemantauan.
"Jumlah keseluruhan kes kekal 13, termasuk tiga kematian. Keadaan kekal stabil dan wabak ini kini hampir berakhir," katanya.
Tedros turut merakamkan penghargaan kepada semua negara yang terlibat dalam bekerjasama membendung penularan wabak itu.
Wabak membabitkan varian Andes dari Amerika Selatan itu mencetuskan kebimbangan global selepas dikesan di atas kapal persiaran kecil Hondius, yang membawa kira-kira 150 penumpang dan anak kapal dari 23 negara.
-- BERNAMA-dpa