KUALA LUMPUR: Kes kanser kolorektal atau kanser usus besar yang sebelum ini sering dikaitkan dengan golongan berusia kini menunjukkan trend membimbangkan apabila semakin ramai pesakit muda dikesan menghidap penyakit berkenaan.
Dalam masa sama, perkembangan teknologi pembedahan robotik kini memberi dimensi baharu dalam rawatan kanser rektum, dengan menawarkan prosedur yang lebih tepat dan berpotensi mempercepatkan proses pemulihan pesakit.
Pakar Bedah Am dan Kolorektal, Datuk Dr. Luqman Mazlan berkata, walaupun majoriti pesakit masih terdiri daripada mereka berusia lebih 60 tahun, peningkatan kes dalam kalangan individu berusia 20-an hingga 40-an semakin ketara sejak kebelakangan ini.
“Kebanyakan pesakit memang masih berumur lebih daripada 60 tahun, sekitar 60 hingga 70 peratus. Tetapi sekarang ini kita melihat golongan berumur 20-an, 30-an dan 40-an juga sudah mula menghidap kanser,” katanya dalam temu bual Awani Pagi pada Jumaat.
Mengulas mengenai perkembangan rawatan, Dr Luqman menjelaskan teknologi pembedahan robotik bukan bermaksud robot menjalankan pembedahan secara sendiri, sebaliknya ia dikawal sepenuhnya oleh pakar bedah bagi membantu meningkatkan ketepatan prosedur.
“Robot hanya menjadi alat bantuan yang membolehkan pakar bedah melihat dengan lebih jelas dan melakukan pembedahan dengan lebih tepat,” katanya.
Menurut beliau, teknologi itu memberikan visual yang lebih terperinci, sekali gus membantu pakar bedah mengenal pasti struktur penting seperti saraf dan salur darah dengan lebih tepat ketika menjalankan pembedahan, khususnya bagi kes kanser rektum.
Bagaimanapun, beliau mengakui kos rawatan robotik masih lebih tinggi, dengan perbezaan sekitar RM10,000 hingga RM15,000 berbanding kaedah pembedahan konvensional.
Namun, katanya, tempoh pemulihan yang lebih cepat serta masa kemasukan ke hospital yang lebih singkat mampu mengimbangi kos keseluruhan rawatan.
Dalam pada itu, Dr Luqman berkata peningkatan kes kanser kolorektal dalam kalangan golongan muda dipercayai banyak dipengaruhi perubahan gaya hidup moden, termasuk pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal dan tekanan.
“Golongan muda sekarang banyak berdepan tekanan, kurang bersenam dan corak pemakanan juga sudah berubah. Banyak makanan berproses seperti burger dan sosej, serta kurang pengambilan sayur-sayuran,” katanya.
Beliau turut menjelaskan hanya sekitar 10 peratus kes kanser kolorektal mempunyai kaitan dengan faktor genetik, manakala selebihnya berlaku secara sporadik dan lebih dipengaruhi faktor persekitaran serta gaya hidup.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kesedaran terhadap simptom awal serta pemeriksaan saringan secara berkala amat penting bagi meningkatkan peluang rawatan dan mengurangkan risiko komplikasi.