KUALA LUMPUR: Rakyat diingatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan naratif yang didakwa mengelirukan, khususnya yang dibawa pemimpin Parti Kancil, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang disifatkan gagal merealisasikan agenda reformasi ketika diberi tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Farzana Hayani berkata, rakyat perlu menilai dakwaan yang dikemukakan Rafizi secara objektif kerana beliau sendiri pernah memegang jawatan kanan dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rafizi tampil dengan pelbagai formula dan janji reformasi yang dikatakan mampu membawa perubahan kepada negara.
“Namun, apabila diberi peluang memegang jawatan kanan dalam kerajaan, banyak janji dan pembaharuan yang dicanangkan gagal diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
“Hari ini beliau cuba menampilkan dirinya sebagai pengkritik kerajaan dengan mendakwa agenda reformasi tidak dilaksanakan, sedangkan beliau sendiri merupakan sebahagian daripada pentadbiran yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Farzana berkata, adalah tidak wajar untuk Rafizi melepaskan tanggungjawab dengan meletakkan sepenuhnya kesalahan terhadap pihak lain.
Menurutnya, tindakan Rafizi yang kini cuba meraih semula sokongan penyokong Pakatan Harapan menerusi naratif menyalahkan kerajaan hanya memperlihatkan usaha untuk menutup kelemahan dan kegagalannya sendiri ketika diberi mandat.
“Rakyat berhak membuat penilaian berdasarkan rekod prestasi, bukannya retorik politik yang berubah mengikut keadaan.
“PKR akan terus turun padang bagi menjelaskan fakta sebenar kepada rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mengelirukan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat sewajarnya membuat penilaian berdasarkan fakta, rekod pencapaian dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh setiap pemimpin, bukannya menerima bulat-bulat sesuatu naratif yang tidak disandarkan kepada bukti kukuh. - Sinar Harian