Skip to main content

Malaysia

Lebih 300 ditahan terbabit pertaruhan haram Piala Dunia 2026

Kuala Lumpur , 18 Mac 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),  Datuk M. Kumar S. Muthuvelu pada sidang media berkenaan kejayaan OP Lejang Mewah Klon : Jenayah Curi dan Klon Identiti Kenderaan di 6 Buah Negeri di Pulapol.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kumar berkata suspek ditahan menerusi 293 serbuan, terdiri daripada 234 warga tempatan dan 97 warga asing. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Polis menahan sebanyak 331 individu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian setakat ini menerusi pelaksanaan Ops Soga XI di seluruh negara sempena Piala Dunia FIFA 2026.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata suspek ditahan menerusi 293 serbuan, terdiri daripada 234 warga tempatan dan 97 warga asing dengan operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM145,005.09 serta nilai pertaruhan berjumlah RM2,625,529.46.

“Dalam operasi ini, sebanyak 185 laman meliputi laman sesawang, platform, aplikasi dan media sosial telah dikesan digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan mempromosikan aktiviti perjudian.

“Tindakan sekatan laman sesawang dan menurunkan kandungan akan dilakukan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kumar berkata semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1), Seksyen 6(3), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953.

Beliau berkata suspek warga asing yang didapati berada di negara ini tanpa dokumen sah disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ops Soga XI yang dilancarkan bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian yang dijangka meningkat sempena Piala Dunia 2026 dilaksanakan dari 11 Jun hingga 19 Julai. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement