KUALA LUMPUR: Legenda berbasikal negara M. Kumaresan dilantik sebagai Pengerusi Panel Pakar Program Pembangunan Sukan Olimpik bagi Sukan Berbasikal bermula tahun ini.
Majlis Sukan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan pelumba pertama negara yang berjaya melayakkan diri ke perlumbaan akhir acara perlumbaan mata di Sukan Olimpik Barcelona 1992 itu dibuat bagi membantu program pembangunan bakat di peringkat negeri.
"Penubuhan panel yang diketuai Kumaresan bertujuan memperkukuh ekosistem pembangunan bakat sukan berbasikal negeri melalui pendekatan yang lebih menyeluruh, berasaskan prestasi dan disokong oleh kepakaran pelbagai disiplin,” menurut kenyataan itu.
MSN memaklumkan tugas utama panel berkenaan ialah memastikan pembangunan atlet dilaksanakan secara sistematik bermula daripada proses pencarian bakat sehingga ke peringkat prestasi tinggi, merancang hala tuju program pembangunan dan memantau prestasi atlet serta jurulatih.
Ia juga mampu membantu proses pemilihan atlet, jurulatih dan pusat latihan serta memberi input berkaitan sains sukan dan pembangunan prestasi.
Dalam pada itu, MSN memaklumkan antara yang dilantik dalam panel itu ialah bekas atlet berbasikal Sukan Olimpik London 2012 Amir Mustafa Rusli, jurulatih acara pecut Harnizam Basri serta bekas pelumba tempatan dengan rekod tiga kemenangan peringkat di perlumbaan Le Tour de Langkawi Mohd Harrif Saleh.
“Wakil Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam panel itu ialah Naib Presiden Firdaus Arshad, wakil Institut Sukan Negara (ISN) Mohd Izham Mohamad serta wakil Kementerian Pendidikan (KPM) Abdul Hadi Abdul Rahman,” menurut kenyataan itu.
MSN memaklumkan program berkenaan akan memberi tumpuan kepada empat inisiatif utama, iaitu penambahbaikan Program Pencarian Bakat dan pelaksanaan Kem Bakat dan Kem Spesifik mengikut disiplin acara untuk memperkasakan kemahiran teknikal, fizikal serta taktikal atlet.
“Inisiatif ketiga ialah pendedahan latihan dan pertandingan luar negara bagi mendedahkan atlet kepada persekitaran latihan berprestasi tinggi, mempelajari amalan terbaik antarabangsa demi meningkatkan tahap daya saing mereka manakala inisiatif keempat ialah untuk mempertingkat kepakaran jurulatih-jurulatih negeri,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dalam kenyataan sama menyifatkan gabungan kepakaran dalam Panel Pakar itu mampu memperkukuhkan ekosistem pembangunan sedia ada serta semua input akan menjadi asas penting melahirkan lebih ramai atlet berpotensi tinggi.
“MSN yakin pelantikan Panel Pakar Berbasikal 2026 ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat berbasikal negeri yang lebih mampan dan progresif, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia,” katanya.
-- BERNAMA