Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pernah masuk Bersatu, akar umbi BN terima Alwiyah - Onn Hafiz

[TB]_PRN Johor, Onn Hafiz, DUN Endau_Astro AWANI
Onn Hafiz berkata, penerimaan itu selari dengan semangat Rumah Bangsa hasil gagasan Presiden UMNO, selain menyifatkan Alwiyah sebagai pemimpin berjiwa rakyat. - Gambar Astro AWANI

MERSING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, pencalonan Alwiyah Talib di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau diterima baik di peringkat akar umbi walaupun isu penyandang kerusi berkenaan pernah menyertai Bersatu terus dimainkan pihak lawan.

Jelas beliau, penerimaan itu selari dengan semangat Rumah Bangsa hasil gagasan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selain menyifatkan Alwiyah sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

“Seperti yang kita boleh lihat hari ini, kita bersyukur dengan konsep Rumah Bangsa yang digagaskan oleh Presiden UMNO. Di peringkat akar umbi kita boleh menerima Kak Wi (Alwiyah) kembali ke pangkuan BN. Kita semua tahu bahawa Kak Wi adalah pemimpin yang baik, walaupun beliau sebelum ini di pihak pengimbang, beliau sentiasa buat kerja demi rakyat.

“Alhamdulillah kita dapat terima beliau kembali ke pangkuan BN dan demi Bangsa Johor, tidak ada masalah untuk kita teruskan perjuangan,” katanya selepas hadir ke Program Santai ONN X ONN Bersama Menteri Besar Johor di Endau, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Onn Hafiz turut menyifatkan jentera BN di Mersing berada dalam keadaan baik selain melihat penerimaan rakyat terhadap calon BN di Endau dan Tenggaroh sebagai memberangsangkan.

”Insya-Allah, kita doa agar momentum ini dapat diteruskan sehingga hari mengundi pada 11 Julai ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat ini, beliau berkata, setiap perjalanan program berjalan dengan penuh harmoni dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Alwiyah berdepan tiga lagi pencabarnya dalam PRN kali ini iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Saiful Nizam Samat; calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Jati Awang; dan calon Perikatan Nasional (PN), Hasnul Hakimi Hussin.

Must Watch Video

Advertisement