Skip to main content

Malaysia

Mahkamah tolak permohonan Fathul Bari, 2 bekas pengarah tangguh bayar balik jemaah umrah

41747736962_MahkamahkualaLumpu.jpg
Hakim menolak permohonan Datuk Fathul Bari Mat Jahya, Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff untuk menangguhkan pembayaran wang berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan tiga bekas pengarah dan pemegang saham sebuah syarikat pelancongan untuk menangguhkan pembayaran balik RM492,480 kepada sekumpulan jemaah umrah dalam satu saman sivil.

Hakim Leong Wai Hong menolak permohonan Datuk Fathul Bari Mat Jahya, Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff untuk menangguhkan pembayaran wang berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Alasan rayuan difailkan bukanlah suatu keadaan khas yang mewajarkan penangguhan diberikan. Oleh itu, permohonan ditolak dengan kos RM5,000," kata hakim itu pada prosiding yang dihadiri peguam Mohd Shahril Madisa, mewakili ketiga-tiga individu berkenaan manakala Teoh Bi Shan mewakili KRS Travel Sdn Bhd.

KRS Travel adalah sebuah syarikat yang menguruskan perkhidmatan umrah dan haji untuk jemaah Malaysia ke kota suci Makkah.

Pada Disember 2025, Leong menolak rayuan tiga individu itu selepas bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen bahawa defendan melakukan penipuan kerana gagal memulangkan RM492,480 yang sepatutnya dibayar semula kepada jemaah umrah selepas perjalanan mereka dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, hakim Mahkamah Sesyen selepas perbicaraan penuh mendapati wujud penipuan di pihak defendan dan membenarkan tuntutan plaintif berjumlah RM492,480.

Menurut fakta kes, kesemua defendan ketika itu adalah pengarah dan pemegang saham Rehla Travel Services Sdn Bhd, sebuah agensi pelancongan yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan aktiviti berkaitan.

Pada Februari 2020, plaintif mendapatkan perkhidmatan Rehla untuk menempah dan membeli tiket penerbangan bagi pelanggannya untuk ke Madinah atau Jeddah, dan telah membayar sebanyak RM492,480 kepada Rehla bagi tujuan itu.

Sebagai ejen tiket bagi Malaysia Airlines Berhad (MAB), Rehla membuat bayaran kepada MAB untuk membeli tiket penerbangan tersebut dan selepas ia disahkan, MAB mengeluarkan Rekod Nama Penumpang bagi setiap pelanggan plaintif.

Namun, susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, tiket-tiket yang dibeli plaintif telah dibatalkan oleh MAB, dan dalam tempoh sama, Rehla tidak beroperasi.

Menurut plaintif, wang RM492,480 yang dibayar kepada Rehla sepatutnya dipulangkan kepada pelanggan namun defendan enggan berbuat demikian atas alasan Rehla hanyalah ejen tiket bagi MAB, dan bayaran untuk tiket tersebut telahpun dibuat kepada MAB.

Defendan berkata plaintif sepatutnya mengemukakan tuntutan kepada MAB, bukannya kepada Rehla, bagi mendapatkan semula wang yang telah dibayar untuk pembelian tiket tersebut.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement