SHAH ALAM: LRT3 Laluan Shah Alam dijangka merekodkan antara 5,000 hingga 10,000 penumpang pada hari pertama operasinya hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata jumlah tersebut dianggap satu pencapaian yang baik.
“Saya fikir kalau kita sudah mencapai 5,000 hingga 10,000 penumpang, itu merupakan satu pencapaian untuk hari pertama. Hari ini juga merupakan hari bekerja dan hari persekolahan, jadi mungkin orang ramai mahu membiasakan diri terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Tinjauan Media sempena Hari Pertama Operasi Laluan Shah Alam di Stesen LRT Glenmarie 2 hari ini.
Beliau berkata, sasaran jangka panjang Rapid Rail adalah mencapai purata 67,000 penumpang sehari dalam tahun pertama operasi, justeru pertambahan jumlah pengguna dijangka berlaku secara berperingkat apabila orang ramai semakin yakin menggunakan laluan tersebut.
Menurut Amir, sambutan pada pagi tadi juga amat menggalakkan apabila ramai pengguna menaiki tren pertama, termasuk keluarga dan pekerja pejabat yang memanfaatkan laluan baharu itu untuk perjalanan harian dengan lebih selesa.
Bersempena pembukaan rasmi, perkhidmatan LRT Shah Alam serta bas pengantara laluan berkenaan ditawarkan secara percuma selama sebulan, bermula hari ini hingga 31 Julai, bagi menggalakkan lebih ramai orang mencuba sistem pengangkutan awam baharu itu.
Sementara itu, mengulas mengenai sama ada Prasarana akan menambah tren LRT Laluan Kelana Jaya atau MRT Kajang, berikutan pertambahan penumpang yang membuat pertukaran dari Laluan Shah Alam, Amir berkata pihak akan membuat pemantauan terlebih dahulu.
Beliau berkata syarikat itu menjangkakan pengguna Laluan Shah Alam akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan rangkaian baharu sebelum corak perjalanan sebenar dapat dinilai.
“Buat masa ini, kita mahu melihat dahulu. Pengguna laluan baharu ini tidak akan terus meningkat secara mendadak. Akan ada tempoh untuk mereka mencuba. Jadi bagi saya, kita akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa," katanya.
Menurut Amir, sekiranya pemantauan mendapati kapasiti sedia ada tidak lagi mencukupi, Prasarana bersedia mengambil langkah meningkatkan kapasiti operasi.
“Jika perlu, kita akan menambah tren atau menyediakan tren kosong di Laluan Kelana Jaya ataupun melalui Laluan Kajang bagi mengambil penumpang," katanya.
Mengulas kebimbangan mengenai kesesakan di Stesen Glenmarie yang menjadi hab pertukaran utama, beliau berkata pihaknya turut memantau pergerakan penumpang di stesen berkenaan bagi mengenal pasti sebarang penambahbaikan yang diperlukan.
“Hari ini kita dapat melihat bagaimana penumpang bergerak dari Laluan Shah Alam ke Laluan Kelana Jaya. Daripada situ kita akan melihat apakah penambahbaikan yang perlu dilakukan," katanya.
Ketika ini, tren Laluan Shah Alam beroperasi pada sela masa sekitar 7.5 hingga lapan minit pada waktu puncak, dengan Prasarana memaklumkan sebarang perubahan terhadap kekerapan perkhidmatan akan diputuskan berdasarkan jumlah penumpang sebenar selepas laluan itu beroperasi sepenuhnya.