KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki memandu secara berbahaya sebelum melanggar tiga kenderaan dan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya dalam kejadian di Lebuhraya Persekutuan, ibu negara, pada 20 Jun lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, pihaknya mengesan video tular berhubung kemalangan itu di media sosial pada kira-kira 7.45 malam, Ahad.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.10 petang apabila sebuah Perodua Kembara dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 59 tahun dari arah Shah Alam menghala Kuala Lumpur.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit disyaki memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah kereta dan sebuah motosikal sebelum melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, penunggang motosikal yang cedera ringan telah dibawa ke Hospital Sunway untuk mendapatkan rawatan, manakala polis kini sedang mengesan pemandu terbabit yang menghilangkan diri selepas kemalangan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Shamsudin berkata, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.
Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.
Beliau turut meminta orang ramai yang melihat atau berada di lokasi kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Kumaran A/L Murugaya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-7966 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.