Skip to main content

Dunia

Iran kekal kawalan penuh Selat Hormuz selama 30 hari lagi - Araghchi

Iranian Foreign Minister Abbas Araghchi looks on during a meeting with Director General of the International Atomic Energy Agency (IAEA) Rafael Grossi, and Egyptian Foreign Minister Badr Abdelatty, at Tahrir Palace in Cairo, on Sep 9, 2025. (File photo: AP/Khaled Elfiqi)
Araghchi (foto) menjelaskan bahawa tanggungjawab mengawal laluan maritim strategik global itu terletak sepenuhnya di bahu Iran tanpa melibatkan mana-mana pihak atau negara lain. -Gambar fail/AP

BAGHDAD: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan bahawa Selat Hormuz akan kekal berada di bawah kawalan, pengawasan, dan pengurusan mutlak Tehran bagi tempoh 30 hari akan datang, lapor Al Jazeera.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan dalam satu sidang media bersama sejawatannya Fuad Hussein di Iraq hari ini, bagi memperincikan perkembangan terkini berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

“Selat Hormuz kekal di bawah pengawasan dan pengurusan penuh Iran sepanjang 30 hari akan datang.

"Selepas semua halangan dialihkan, kapasiti penuh laluan ini akan dipulihkan,” katanya.

Araghchi menjelaskan bahawa tanggungjawab mengawal laluan maritim strategik global itu terletak sepenuhnya di bahu Iran tanpa melibatkan mana-mana pihak atau negara lain.

Beliau turut mengeluarkan amaran keras bahawa sebarang bentuk campur tangan luar atau tindakan unilateral daripada pihak lain hanya akan mengakibatkan situasi perang yang semakin meruncing serta melambatkan lagi proses pembukaan semula laluan tersebut.

Image
Iraqi Foreign Minister Fuad Hussein shakes hands with Iranian Foreign Minister Abbas Araqchi on the day of a joint press conference, in Baghdad, Iraq, June 28, 2026. REUTERS/Thaier Al-Sudani
Araghchi (kiri) bersama rakan sejawatannya Fuad Hussein (kanan) di Iraq hari ini bagi memperincikan perkembangan terkini berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS). 

Dalam perkembangan sama, beliau mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan tertinggi kepada kerajaan dan seluruh rakyat Iraq atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan sepanjang krisis ketenteraan yang sedang melanda rantau Asia Barat ketika ini.

"Rakyat dan kerajaan Iraq sentiasa memberikan sokongan mereka semasa perang. Mereka sentiasa menyokong rakyat Iran, yang menjadi mangsa pencerobohan Israel-Amerika.

"Rakyat Iraq sentiasa menyokong saudara Iran mereka," kata beliau lagi.

Sokongan padu daripada negara jiran itu disifatkan amat kritikal buat Tehran dalam mendepani tekanan geopolitik dan ketenteraan yang hebat daripada pakatan sekutu barat di rantau berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement