Skip to main content

Dunia

Indonesia: Warga Palestin yang diusir tertakluk kepada Notis Merah Interpol

71625009022_Interpol.jpg
Pengusiran warga Palestin Abdul Karim Raed Miqdad dibuat berdasarkan Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) yang sah atas permintaan pihak berkuasa Cyprus. - Gambar hiasan

JAKARTA: Indonesia menjelaskan bahawa penahanan dan pengusiran warga Palestin Abdul Karim Raed Miqdad dibuat berdasarkan Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) yang sah atas permintaan pihak berkuasa Cyprus.

Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia Yusril Ihza Mahendra berkata penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang semakin diperkatakan orang ramai bahawa Miqdad ialah seorang ulama Palestin atau aktivis kemanusiaan, sekali gus mendorong kerajaan mengesahkan identiti dan latar belakangnya dengan Kedutaan Palestin di Jakarta.

"Berdasarkan data dan dokumen yang ada, Abdul Karim, 41, ialah seorang ahli perniagaan, bukannya aktivis Palestin atau pendakwah Islam," katanya seperti dipetik agensi berita Antara pada lewat Rabu.

Yusril berkata Miqdad, yang ditahan di Tangerang, Banten pada 16 Julai lepas dan diusir ke Cyprus pada keesokan harinya, akan dihadapkan ke mahkamah di negara itu untuk dibicarakan atas pertuduhan keganasan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa Cyprus. Beliau menambah Indonesia akan mendapatkan jaminan bahawa Miqdad tidak akan diekstradisi ke negara ketiga.

Beliau berkata tiada bukti menunjukkan Miqdad terbabit dalam aktiviti kemanusiaan di Semenanjung Gaza seperti yang dipercayai secara meluas.

Menurut Yusril, Miqdad telah menetap di Indonesia sejak tiga tahun lalu, berkahwin serta mempunyai anak, selain kerap melakukan perjalanan ke luar negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement