Skip to main content

Teknologi

Samsung dilapor bincang pelaburan sehingga €1 bilion dalam Mistral

The logo of Samsung Electronics is seen at the company's store in Seoul, South Korea, April 15, 2025. REUTERS/Kim Hong-Ji/File Photo
Pelaburan daripada Samsung dijangka menjadi sebahagian daripada pusingan pembiayaan baharu yang turut disertai beberapa pelabur lain, sekali gus berpotensi meningkatkan nilai syarikat itu kepada sekitar €20 bilion (kira-kira RM101.4 bilion).

SEOUL: Gergasi teknologi Korea Selatan, Samsung, dilapor sedang mengadakan rundingan untuk melabur ratusan juta euro dalam syarikat kecerdasan buatan (AI) Eropah, Mistral.

Bagaimanapun, jumlah sebenar pelaburan itu masih belum didedahkan secara rasmi. Beberapa laporan industri menyebut nilainya berpotensi mencecah sehingga €1 bilion (kira-kira RM5.1 bilion), lapor Amanz.

Mistral yang berpangkalan di Perancis kini merupakan antara syarikat AI generatif terkemuka di Eropah dan membekalkan teknologinya kepada pelbagai organisasi serta syarikat di rantau berkenaan, termasuk sektor pertahanan Perancis.

Teknologi Mistral sering dianggap sebagai antara alternatif utama Eropah kepada model AI yang dibangunkan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS).

Perkembangan itu berlaku ketika banyak negara dan organisasi semakin memberi perhatian kepada pembangunan teknologi AI tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyedia teknologi asing.

Pelaburan daripada Samsung dijangka menjadi sebahagian daripada pusingan pembiayaan baharu yang turut disertai beberapa pelabur lain, sekali gus berpotensi meningkatkan nilai syarikat itu kepada sekitar €20 bilion (kira-kira RM101.4 bilion).

Setakat ini, Samsung dan Mistral belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement