Skip to main content

Dunia

Hampir 170,000 dipindahkan susulan kebakaran hutan di barat daya Perancis

A view of a wildfire near Lacanau, amongst worsening drought conditions following a heatwave and water shortages across much of France, July 25, 2026. REUTERS/Abdul Saboor
Seramai 167,000 orang dipindahkan akibat kebakaran yang melanda Gironde sejak Rabu dan kini merebak ke arah kawasan bandar Bordeaux. - Reuters

ISTANBUL: Hampir 170,000 orang dipindahkan susulan kebakaran hutan yang masih berlaku di daerah pentadbiran Gironde, barat daya Perancis, yang memusnahkan lebih 30,000 hektar kawasan, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar BFMTV pada Sabtu.

Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez pada taklimat media berkata seramai 167,000 orang dipindahkan akibat kebakaran yang melanda Gironde sejak Rabu dan kini merebak ke arah kawasan bandar Bordeaux.

Nunez berkata seramai 57,000 orang dipindahkan dari kawasan sekitar kebakaran sepanjang malam. Beliau turut mengesahkan 500 anggota tentera telah dikerahkan ke Gironde, manakala 500 lagi dijangka tiba dalam beberapa jam akan datang.

Beliau berkata 18 aset udara turut dikerahkan, termasuk pesawat Canadair dan Dash, selain mengumumkan secara rasmi penggunaan pesawat A400M buat kali pertama pada petang itu.

Nunez turut berkata hampir 98,000 hektar kawasan di seluruh Perancis telah terbakar setakat Sabtu susulan kebakaran Gironde yang semakin merebak, sambil menyifatkan angka itu sebagai “rekod bersejarah”.

Beliau berkata kira-kira 30,000 orang dipindahkan dan 550 anggota bomba dikerahkan susulan kebakaran yang masih berlaku di daerah pentadbiran Landes yang bersebelahan.

Di daerah pentadbiran Var di tenggara Perancis, satu lagi kebakaran dilaporkan memusnahkan 3,250 hektar kawasan dan menyebabkan kira-kira 1,000 anggota bomba dikerahkan.

Pihak berkuasa memaklumkan BFMTV bahawa keadaan operasi masih sukar malah “amat buruk” apabila angin yang bertiup tidak menentu memburukkan kebakaran sehingga tidak lagi dapat dikawal.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement