Skip to main content

Dunia

Gempa magnitud 7.1 gegar Jepun, amaran tsunami dikeluarkan

Television screens in Osaka, western Japan, show news of an earthquake with a preliminary magnitude of 7.1, which, according to the Japan Meteorological Agency, struck Japan's southern Kumamoto prefecture, July 28, 2026. Kyodo/via REUTERS ATTENTION EDITORS
JMA dalam kenyataan turut mengeluarkan amaran tsunami susulan gempa berkenaan dengan jangkaan gelombang setinggi satu meter. -Foto Reuters

TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun (JMA) melaporkan gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.1 melanda Wilayah Kumamoto di Pulau Kyushu, barat daya Jepun, pada Selasa.

JMA dalam kenyataan turut mengeluarkan amaran tsunami susulan gempa berkenaan dengan jangkaan gelombang setinggi satu meter.

Media antarabangsa melaporkan kerajaan Jepun mengeluarkan amaran kecemasan gempa bumi membabitkan wilayah di selatan Jepun, antaranya Kumamoto, Nagasaki, Kagoshima, Fukuoka, Saga, Oita dan Miyazaki.

Sementara itu, Kyushu Electric Power memaklumkan tiada laporan mengenai sebarang ketidaknormalan dikesan di loji tenaga nuklear Sendai dan Genkai selepas kejadian gempa tersebut.

Pengendali kereta api JR Kyushu pula berkata perkhidmatan tren, termasuk tren berkelajuan tinggi Shinkansen, dihentikan sementara susulan gempa berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa bumi kuat yang melanda Jepun itu.

Menurut kenyataan MetMalaysia, pusat gempa dikesan pada koordinat 32.7 darjah Utara dan 130.6 darjah Timur, dengan kedalaman 10 kilometer, kira-kira 14 kilometer ke barat daya Kumamoto, Jepun.

 

Must Watch Video

Advertisement