Skip to main content

Dunia

Gempa bumi Venezuela: 33 diselamatkan, puluhan ribu masih hilang

People gather as rescue personnel assist in rescue efforts after earthquakes hit the country, in La Guaira, Venezuela, Jun 27, 2026. (Photo: REUTERS/Maxwell Briceno)
Orang ramai berkumpul ketika anggota penyelamat menjalankan operasi menyelamat susulan gempa bumi yang melanda negara itu, di La Guaira, Venezuela, pada Sabtu lalu. - Gambar Reuters

CARACAS: Seramai 33 mangsa berjaya diselamatkan setakat hujung minggu ini susulan dua gempa bumi yang melanda Venezuela, termasuk beberapa kanak-kanak, kata Presiden Interim negara itu.

Namun, puluhan ribu lagi individu masih belum dapat dikenal pasti nasib mereka, dengan masa untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin suntuk.

Angka korban akibat gempa berkembar yang berlaku pada Rabu lalu meningkat kepada lebih 1,400 setakat Sabtu, ketika pasukan penyelamat antarabangsa mula tiba di negeri pesisir La Guaira yang paling terjejas.

Sebelum ketibaan lebih 1,600 anggota penyelamat asing, keluarga mangsa dan sukarelawan bertungkus-lumus menggali runtuhan untuk mencari mangsa terselamat dan mayat, namun berdepan kekurangan peralatan berat serta kehadiran pihak berkuasa yang terhad. 

Keadaan menjadi lebih buruk susulan ratusan gegaran susulan.

Kerajaan yang dipimpin Presiden Interim, Delcy Rodriguez turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan awam yang menghantar bantuan ke La Guaira, tetapi kemudian mengetatkan akses jalan ke kawasan tersebut bagi memastikan pergerakan kenderaan kecemasan tidak terganggu.

Walaupun kerajaan menyatakan ratusan mangsa masih hilang atau terperangkap, hampir 50,000 individu disenaraikan sebagai belum ditemui dalam satu laman web yang disokong pihak pembangkang setakat Ahad. 

Angka itu sedikit menurun berbanding 55,000 yang dilaporkan pada Sabtu.

Kajian Kajian Geologi Amerika Syarikat menganggarkan jumlah kematian berpotensi mencecah lebih 10,000 orang akibat gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5, sekali gus menjadikannya antara bencana paling dahsyat di Amerika Latin dalam tempoh seabad.

Ketua pasukan penyelamat Switzerland, Sebastian Eugster berkata, peluang untuk menyelamatkan mangsa hidup biasanya terhad kepada tempoh kira-kira 72 jam selepas kejadian.

Pasukan seramai 80 anggota itu berjaya mengesan beberapa mangsa hidup di bawah runtuhan menggunakan anjing pengesan, namun tidak sempat menyelamatkan mereka.

Sabtu lalu menandakan genap 72 jam sejak gempa berlaku.

Pasukan penyelamat dijangka menentukan bila operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan, namun akan terus berada di lapangan bagi membantu kerja bantuan lain.

Mangsa kanak-kanak berjaya diselamatkan

Pasukan penyelamat Amerika Syarikat berjaya menyelamatkan seorang bayi, manakala pasukan Colombia pula menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang terperangkap kira-kira tiga meter di bawah runtuhan.

Kanak-kanak itu dibawa keluar dengan tangan patah dan matanya ditutup bagi melindungi daripada kejutan cahaya. Ibu dan kakaknya dilaporkan maut dalam kejadian tersebut.

Di Caraballeda, pasukan penyelamat Mexico turut berjaya menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Rodriguez berkata, setiap nyawa yang berjaya diselamatkan memberi sinar harapan kepada Venezuela.

Setakat ini, kerajaan memaklumkan, lebih 3,000 orang cedera, manakala jumlah sama kini berlindung di pusat pemindahan sementara.

Bantuan antarabangsa dan kesan politik

Pemimpin dunia turut menzahirkan solidariti terhadap Venezuela, termasuk ketua agama Katolik yang menyampaikan doa dan sokongan kepada mangsa.

Kesatuan Eropah mengumumkan bantuan kecemasan sebanyak 5 juta euro, manakala Amerika Syarikat dijangka menyalurkan pakej bantuan tambahan bernilai ratusan juta dolar.

Bencana ini juga berpotensi memberi kesan kepada landskap politik negara itu.

Dalam masa sama, bekalan elektrik beransur pulih di beberapa kawasan, namun Venezuela masih berdepan gangguan tenaga yang berpanjangan berikutan kekangan pelaburan dan sekatan ekonomi. - Agensi
 

Must Watch Video

Advertisement