Skip to main content

Dunia

Filipina runding dengan AS untuk kurangkan tarif eksport

51745100544_TBTrumpTariffs.jpg
Duta Filipina ke AS Jose Manuel Romualdez dalam mesej teks pada Jumaat berkata Manila akan berusaha mendapatkan pengurangan kadar tarif itu kepada sekurang-kurangnya 10 peratus. - Gambar hiasan

MANILA: Filipina akan berunding dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menurunkan tarif 12.5 peratus yang dikenakan terhadap eksportnya susulan dakwaan negara itu gagal membendung import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Duta Filipina ke AS Jose Manuel Romualdez dalam mesej teks pada Jumaat berkata Manila akan berusaha mendapatkan pengurangan kadar tarif itu kepada sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Kami terus mengadakan perbincangan. Secara teknikalnya, kadar 12.5 peratus masih jauh lebih rendah berbanding tarif terdahulu sebanyak 19 peratus yang dibatalkan oleh Mahkamah Agung AS,” kata beliau.

Beliau berkata Filipina akan berunding atas dasar bahawa mana-mana barangan eksport yang terbukti mempunyai kaitan dengan buruh kanak-kanak akan dikeluarkan daripada senarai eksport negara itu.

Romualdez berkata Timbalan Setiausaha Perdagangan Allan Gepty mengetuai pasukan rundingan Filipina.

Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) pada Jumaat mengumumkan pentadbiran Trump akan mengenakan tarif terhadap 60 ekonomi termasuk Filipina kerana didakwa gagal melarang serta menguatkuasakan dengan berkesan sekatan terhadap import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

-- BERNAMA-PNA

 

Must Watch Video

Advertisement