DUBAI: Dubai memperkenal satu siri acara bagi separuh kedua tahun 2026 dalam usaha Emiriah itu untuk mengekalkan pertumbuhan pelancongan dan memperkukuh keyakinan terhadap ekonominya susulan gangguan yang dicetuskan oleh perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran, lapor Xinhua.
Dalam satu taklimat awal minggu ini, Jabatan Ekonomi dan Pelancongan Dubai mengumumkan barisan acara yang dijadualkan termasuk “Dubai Summer Surprises” pada Julai, yang menampilkan promosi runcit serta program hiburan sepanjang musim panas.
Menurut jabatan itu, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengekalkan status amiriah itu sebagai destinasi utama bagi perniagaan, pelancongan, inovasi dan pelaburan, di samping mengekalkan momentum pertumbuhan.
Ia turut mengetengahkan projek infrastruktur utama termasuk laluan metro baharu serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, yang dijangka menjadi antara hab penerbangan terbesar di dunia.
Statistik rasmi menunjukkan Dubai menerima 19.59 juta pelawat bermalam antarabangsa pada 2025, mencatatkan rekod ketibaan pelancongan tertinggi untuk tahun ketiga berturut-turut.
Konflik serantau yang dicetuskan oleh serangan AS dan Israel ke atas Iran pada akhir Februari lepas telah menjejaskan aktiviti sektor pelancongan di seluruh Teluk, sekali gus memberi cabaran besar kepada Dubai yang ekonominya amat bergantung kepada sektor pelancongan, perdagangan dan penerbangan.
-- BERNAMA-XINHUA