KINSHASA: Penurunan jumlah kes Ebola yang dilaporkan di Republik Demokratik Congo (DR Congo) dilihat memberi sedikit kelegaan, namun pakar menegaskan keadaan sebenar wabak itu tidak semudah yang disangka.
Data terkini menunjukkan kira-kira 380 kes disahkan dengan 60 kematian di DR Congo, berbanding angka awal yang pernah mencecah lebih 1,000 kes disyaki dan hampir 250 kematian.
Selain itu, negara jiran Uganda melaporkan 15 kes disahkan dengan satu kematian.
Namun, perubahan angka ini sebahagian besarnya berpunca daripada peralihan kaedah pelaporan daripada kes disyaki kepada kes yang disahkan melalui ujian makmal.
Pakar kesihatan menjelaskan bahawa penurunan tersebut bukan bermakna wabak semakin terkawal, sebaliknya mencerminkan data yang lebih tepat selepas banyak kes demam disahkan bukan Ebola, termasuk malaria yang lazim di negara itu.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata wabak itu pada awalnya mendapat “kelebihan” kerana penyebaran pantas, namun pasukan tindak balas kini mula mengejar perkembangan situasi.
Walau bagaimanapun, cabaran utama masih tertumpu kepada usaha mengesan kontak rapat pesakit.
Ketika ini, hanya sekitar 45 peratus kontak berjaya dikesan, jauh daripada sasaran 90 peratus yang diperlukan untuk mengawal penularan wabak.
Keadaan ini diburukkan lagi kerana kawasan yang menjadi pusat wabak terletak di wilayah timur DR Congo yang dilanda konflik bersenjata, sekali gus menyukarkan operasi kesihatan awam.
Selain itu, isu ketidakpercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa turut menjejaskan usaha kawalan.
Baru-baru ini, satu pasukan pengebumian Ebola dilaporkan diserang di wilayah South Kivu, menyebabkan operasi terpaksa dihentikan dan meningkatkan risiko penularan.
Amalan pengebumian tradisional yang melibatkan sentuhan langsung dengan mayat juga dikenal pasti sebagai faktor berisiko tinggi, kerana virus Ebola merebak melalui cecair badan yang dijangkiti.
WHO menegaskan bahawa membina kepercayaan masyarakat merupakan elemen penting untuk mengawal wabak tersebut.
Wabak kali ini melibatkan spesies Ebola Bundibugyo yang jarang berlaku dan belum mempunyai vaksin atau rawatan terbukti berkesan, walaupun kajian sedang giat dijalankan.
Walaupun risiko global dinilai rendah kerana virus ini tidak merebak melalui udara seperti COVID-19, WHO memberi amaran bahawa risiko dalam negara kekal sangat tinggi, dengan kemungkinan wabak menjadi lebih besar jika tidak dikawal dengan berkesan.
Amerika Syarikat turut memberi amaran bahawa tanpa intervensi kesihatan awam yang kukuh, wabak semasa berpotensi menjadi sebesar atau lebih teruk daripada wabak Ebola di Afrika Barat antara 2014 hingga 2016.
Sehubungan itu, usaha antarabangsa terus dipertingkat, termasuk bantuan tambahan dana bagi menyokong operasi kawalan dan rawatan di kawasan terjejas.