Skip to main content

Dunia

Perancis buka siasatan ‘jenayah perang’ terhadap Israel berhubung layanan aktivis Gaza

French activists from the Gaza-bound Global Sumud Flotilla, detained by Israeli forces after their vessels were intercepted in international waters in the Mediterranean, arrive at Charles de Gaulle Airport, in Roissy-en-France, near Paris, France May 22, 2026. REUTERS/Abdul Saboor
Aktivis Perancis daripada misi Global Sumud Flotilla ke Gaza ketika tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Roissy-en-France, Perancis. - Foto REUTERS

PARIS: Pendakwa antikeganasan Perancis membuka siasatan awal berhubung dakwaan “penyeksaan” dan “jenayah perang” berkaitan layanan Israel terhadap aktivis Perancis yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bulan lalu.

Pejabat Pendakwa Antikeganasan Kebangsaan (PNAT) memaklumkan siasatan itu dimulakan pada Jumaat susulan rujukan daripada Kementerian Luar Perancis, selepas aktivis dalam misi Global Sumud Flotilla mendakwa mereka dilayan secara kasar ketika ditahan.

Kira-kira 430 aktivis dari hampir 40 negara ditahan oleh Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa pada 18 Mei ketika cuba menembusi sekatan ke atas Gaza.

Sekatan itu dikritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi sebagai tidak sah serta dilihat sebagai bentuk hukuman kolektif.

Insiden berkenaan mencetuskan kecaman antarabangsa, khususnya selepas Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, dikritik kerana memuat naik video memperlekehkan aktivis yang ditahan.

Sebagai tindak balas, Perancis melarang kemasukan Ben-Gvir ke negara itu dan memanggil duta Israel untuk memberikan penjelasan, seiring tindakan beberapa negara sekutu lain.

Beberapa aktivis Perancis yang kembali ke tanah air pada 22 Mei mendakwa mereka mengalami layanan ganas dan memalukan semasa dalam tahanan.

Dua daripada lebih 30 rakyat Perancis yang menyertai misi itu masih dirawat di hospital di Turkiye.

Seorang aktivis mendakwa beliau diganggu secara fizikal oleh anggota tentera, termasuk dicengkam dan ditampar dalam sebuah kontena gelap, sehingga mencetuskan ketakutan kemungkinan berlaku serangan seksual.

Seorang lagi mendakwa aktivis dipaksa berada dalam “posisi tekanan” selama beberapa jam, dengan kepala ditekan ke tanah sambil lagu kebangsaan Israel dimainkan berulang kali.

Pusat guaman Adalah, yang memperjuangkan hak rakyat Palestin, menyatakan insiden itu mungkin merupakan kes layanan paling teruk dalam tempoh sedekad, berpotensi menjurus kepada penyeksaan.

Peguam aktivis Perancis turut merancang memfailkan aduan berasingan berhubung dakwaan rogol, penderaan dan penghinaan terhadap klien mereka.

Bagaimanapun, pihak penjara Israel menafikan semua dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Insiden ini terus meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel berhubung layanan terhadap aktivis dan tahanan, di tengah-tengah konflik berterusan di Gaza.

 

Must Watch Video

Advertisement