ZURICH: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan tiket Piala Dunia yang diberikan kepada kira-kira 60 peminat selepas mereka secara tidak sengaja memperolehnya secara percuma akibat kesilapan sistem laman web.
FIFA dalam kenyataannya pada Khamis memaklumkan tiket berkenaan “diperuntukkan tanpa caj (0 dolar AS) disebabkan isu pembayaran ketika proses pembelian”.
“FIFA kesal dengan kesilapan ini serta sebarang kesulitan yang dialami,” menurut badan induk bola sepak dunia itu.
Bagaimanapun, FIFA menegaskan tiket tersebut masih diperuntukkan kepada peminat terbabit, dan mereka telah dijemput untuk melengkapkan pembayaran mengikut harga sebenar.
Kesilapan itu merupakan insiden terbaharu melibatkan sistem jualan tiket Piala Dunia, yang sebelum ini turut mencetuskan kontroversi.
Program tiket berkenaan kini dalam siasatan peguam negara New York dan New Jersey atas kemungkinan pelanggaran undang-undang perlindungan pengguna.
Menurut FIFA, tiket berharga sifar itu dijual melalui laman rasmi pada 21 Mei lalu, lebih tiga bulan selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengumumkan semua 104 perlawanan Piala Dunia telah habis dijual.
Walaupun begitu, tiket tertentu masih ditawarkan kepada peminat, dengan ketidakpastian sama ada harga akan berubah bagi perlawanan kurang mendapat permintaan di bawah model harga dinamik yang diperkenalkan FIFA.
FIFA turut mengendalikan platform jualan semula rasmi, dengan mengenakan komisen 15 peratus kepada pembeli dan penjual, dalam usaha mengurangkan pengaruh pihak ketiga dalam pasaran tiket.
Piala Dunia 2026, yang akan bermula di Mexico City, dijangka mencatat harga tiket tertinggi dalam sejarah kejohanan itu.
FIFA menyatakan hasil jualan tiket akan digunakan untuk menjana dana bagi pembangunan bola sepak di seluruh dunia.