Skip to main content

Dunia

China pindahkan 2,300 pelancong selepas tanah runtuh landa Jiuzhaigou

Fallen trees, flooding risks in Southern China after Typhoon Noul makes landfall -- REUTERS/CCTV
Kejadian di wilayah Sichuan itu dipercayai berpunca daripada hujan berterusan yang dibawa oleh jalur hujan luar Taufan Noul, yang menyebabkan beberapa kawasan berisiko tinggi dilanda banjir dan runtuhan tanah. -Foto Reuters

SICHUAN: Pihak berkuasa China berjaya memindahkan kira-kira 2,300 pelancong yang terkandas di Tapak Warisan Dunia UNESCO, Jiuzhaigou, susulan kejadian tanah runtuh dan hujan lebat yang melanda kawasan itu pada Isnin.

Kejadian di wilayah Sichuan itu dipercayai berpunca daripada hujan berterusan yang dibawa oleh jalur hujan luar Taufan Noul, yang menyebabkan beberapa kawasan berisiko tinggi dilanda banjir dan runtuhan tanah.

Menurut laporan penyiar rasmi China, CCTV, beberapa lokasi tumpuan pelancong terpaksa ditutup serta-merta bagi membolehkan operasi menyelamat dan pemantauan keselamatan dijalankan.

Pihak pengurusan Jiuzhaigou mengesahkan kawasan di sekitar Tasik Arrow Bamboo di Lembah Rize serta keseluruhan Lembah Zechawa ditutup kepada pelawat sehingga dimaklumkan kelak.

Susulan cuaca buruk yang berterusan, Kementerian Sumber Air dan Pentadbiran Meteorologi China mengaktifkan Amaran Merah, iaitu tahap amaran cuaca tertinggi negara itu, berikutan risiko banjir kilat dan tanah runtuh yang tinggi.

Amaran itu turut melibatkan tujuh wilayah iaitu Jiangxi, Hunan, Guangdong, Sichuan, Shaanxi, Gansu dan bahagian tenggara Xinjiang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan mengesahkan tiada kematian atau kecederaan membabitkan pelancong dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh di Jiuzhaigou setakat ini.

Meskipun demikian, kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan lain termasuk Chongqing dan Gansu dilaporkan telah meragut puluhan nyawa dalam tempoh kebelakangan ini.

 

Must Watch Video

Advertisement